SEBANYAK 10 organisasi dan individu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) 2024 pada Selasa, selepas proses saringan melibatkan lebih dari 500 penyertaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt berkata, tindakan tanpa mengharapkan ganjaran atau kepentingan peribadi yang ditunjukkan para pemenang mencetuskan inspirasi kepada SMG untuk meneruskan misi dalam memberi penghargaan kepada mereka yang banyak menyumbang kepada masyarakat.
“Kisah-kisah mereka memberi inspirasi pada kami untuk terus percaya kepada kebaikan, sekali gus memberikan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
BACA LAGI : Star Golden Hearts Award raikan wira tidak didendang, pacu sokongan terhadap isu sosial negara
BACA LAGI : Star Golden Hearts Award meraikan sedekad pengiktirafan buat wira tidak didendang ke-100
"Ini kerana kisah yang berunsurkan perpaduan, ketahanan dan belas kasihan akan terus membentuk negara yang menghargai serta menilai setiap kebaikan dan nyawa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penganugerahan di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Bertemakan 'Power of One, the Strength of Many', Anugerah SGHA 2024 turut meraikan ulang tahun ke-10 sejak diperkenalkan pada 2015.
Mengulas lanjut, Seng Fatt berkata, anugerah tersebut pada mulanya hanya merupakan usaha kecil sebelum berkembang menjadi simbol harapan yang membuktikan kekuatan sebenar rakyat Malaysia.
“Kami membuktikan bahawa belas kasihan dan perpaduan adalah nilai teras dalam diri rakyat Malaysia.
"Ulang tahun ke-10 ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja menandakan kejayaan SGHA, tetapi juga satu penghargaan kepada 100 wira tak didendang yang sudah kami raikan sepanjang dekad yang lalu,” katanya.
Seng Fatt ketika berucap pada majlis penganugerahan di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Juri SGHA, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkan anugerah tersebut sebagai lambang usaha bersama rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
"Bertugas sebagai ketua juri saban tahun adalah pengalaman yang sangat berharga.
"Saya dapat menyaksikan perubahan melalui kebaikan, belas kasihan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Lam Thye, bilangan pencalonan diterima yang melebihi 500 individu menjadikan proses pemilihan pemenang sebagai satu cabaran yang besar.
“Kami menyaksikan individu dan organisasi luar biasa yang memperjuangkan pemuliharaan hidupan liar, kelestarian alam sekitar, pendidikan, kebajikan sosial, inklusiviti, bantuan bencana serta pemerkasaan komuniti.
"Program ini cukup konsisten dalam misinya untuk mengiktiraf rakyat yang menyumbang kepada masyarakat tanpa mengharapkan penghargaan,” tambahnya.
Antara inisiatif yang diiktiraf dalam SGHA 2024 adalah pemuliharaan hidupan liar, pembangunan komuniti, kebajikan sosial, pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, serta bantuan dalam krisis dan bencana.
Pemenang SGHA 2024 terdiri daripada Rimau, Reef Check Malaysia, Silatul Rahim Dahman, Pasukan Anti-Pemburuan Haram Orang Asli WWF-Malaysia, Food Aid Foundation, Profesor Dr Thong Meow Keong, APE Malaysia, Pasukan Pemuliharaan Hidupan Liar Sarawak WWF-Malaysia, Turtle Conservation Society of Malaysia, dan Search and Rescue Dogs Malaysia.
Majlis penyampaian anugerah itu turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh penerima Star Social Impact Grant, Muhammad Dharwisy ‘Ukaysyah Muhammad Azam Syah.
Muhammad Dharwisy yang juga merupakan salah seorang pelajar Pusat Autisme IDEAS mempersembahkan puisi bertajuk 'Terima Kasih Perwira Kami' sebagai tanda penghargaan kepada semua pemenang atas sumbangan mereka yang luar biasa. — The Star/JUNAID IBRAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram