Star Golden Hearts Award raikan wira tidak didendang, pacu sokongan terhadap isu sosial negara


  • Bizz
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Para pemenang bergambar bersama Lydia Wang (empat dari kanan, barisan tengah), Ong Jee Lian, Alex Yeow, Ts. Lim Hui Yan, Tan Sri Lee Lam Thye, Esther Ng di Anugerah Star Golden Hearts Award yang berlangsung di Cybertorium Menara Star, Petaling Jaya pada Khamis.

SEBAGAI pengiktirafan terhadap syarikat dan orang perseorangan yang telah memberikan impak kepada masyarakat dan alam sekitar melalui pelbagai inisiatif dijalankan, sebanyak 10 pemenang dianugerahkan 'Star Golden Hearts Award' (SGHA) yang berlangsung pada Jumaat.

Proses pemilihan dimulakan pada Jun lalu daripada pencalonan orang awam.

Menerusi penilaian barisan panel juri, seramai 10 pemenang hebat dipilih daripada 731 pencalonan yang diterima.

Penerima anugerah tahun ini terdiri daripada Bornean Sun Bear Conservation Centre, Lang Tengah Turtle Watch, The MareCet Research Malaysia, Starfish Malaysia Foundation, PACOS Trust, The Asli Co., Kelab Alami, Buku Jalanan Chow Kit, Japson Wong dan Graze Market yang rata-ratanya cukup berdedikasi dalam menangani pelbagai isu.

Hasil kerja mereka merangkumi sektor pendidikan untuk golongan kurang bernasib baik, pemuliharaan hidupan liar, aktiviti kitar semula sisa mampan dan membela kehidupan masyarakat Orang Asli.

Kesemua pemenang menerima wang sebanyak RM15,000 sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan serta teladan yang ditunjukkan mereka dalam memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat dan alam sekitar.

Antara kesemua 10 pemenang, Bornean Sun Bear Conservation Centre dan The MareCet Research Organisation dinobatkan selaku pemenang paling dinanti-nantikan iaitu ‘Gamuda Inspiration Award’ (GIA) dengan masing-masing menerima geran bernilai RM150,000 setiap seorang.

Bornean Sun Bear Conservation Centre yang terkenal dengan usaha serta dedikasinya dalam melindungi beruang ikonik Borneo itu telah meninggalkan kesan cukup signifikan terhadap bidang pemuliharaan hidupan liar.

Ketua Pegawai Eksekutif Bornean Sun Bear Conservation Centre, Wong Siew Te, 48, berkata, kemenangan yang diraih pihaknya amat dihargai dan dinanti-nantikan selama ini.

"Saya berterima kasih kepada Star Media dan Yayasan Gamuda kerana memberikan kepercayaan kepada kami. Kemenangan dalam bentuk wang RM15,000 dan geran RM150,000 ini sangat bermakna buat organisasi kami yang mana ia akan disalurkan kepada pembangunan dan menambah baik usaha pemuliharaan yang kami jalankan," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, The MareCet Research Organisation pula mewakili pencinta hidupan marin menjalankan usaha pemuliharaan serta penyelidikan mengenai hidupan mamalia marin di samping menjalankan program pendidikan dan sukarelawan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fairul Izmal Jamal Hisne, 40, menganggap kemenangan tersebut sebagai satu batu loncatan buatnya untuk terus melangkah ke hadapan.

"Ini merupakan kejayaan kami sebagai satu pasukan dan sememangnya akan dijadikan sebagai kekuatan untuk terus mendapatkan penghargaan dan dana khususnya dari pihak kerajaan demi kerja-kerja pemuliharaan hidupan di dasar lautan," katanya.

Menerusi ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG), Alex Yeow memuji para pemenang atas usaha dan komitmen tidak berbelah bahagi mereka untuk terus melakukan perubahan dalam masyarakat.

"Umum mengetahui, tujuan utama anugerah ini diwujudkan adalah untuk mengiktiraf dan memberi inspirasi kepada wira yang tidak didendang.

"Saya percaya bahawa usaha yang dijalankan oleh semua individu untuk anugerah ini, telah benar-benar membawa satu perubahan dalam komuniti dan membantu mengekalkan alam sekitar dengan usaha yang dilakukan.

"Usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi inspirasi kerana anda sentiasa berada di lapangan dan melaksanakan inisiatif dalam pelbagai bentuk, membantu mereka yang memerlukan bantuan dan turut membahayakan keselamatan diri apabila berdepan situasi mencabar dan sukar," kata Yeow.

"Hasil kerja yang berinovatif dan berimpak tinggi dapat dilihat semasa proses penjurian dijalankan dan ia sememangnya menakjubkan.

"Melalui hasil kerja yang dijalankan, anda telah menunjukkan tahap profesionalisme dan kreativiti yang tinggi dalam menangani masalah sosial serta alam sekitar," tambahnya.

SET

Senarai pemenang Anugerah 'Star Golden Hearts Award' (SGHA) 2023.

Memasuki tahun kesembilan penganjurannya, SGHA terus meraikan individu yang memberikan impak positif terhadap masyarakat dan dunia di samping mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Diadakan di Cybertorium Menara Star, Petaling Jaya, Selangor, lebih 150 orang menghadiri anugerah tersebut dengan rata-ratanya terdiri daripada penerima anugerah, pemenang terdahulu serta tetamu daripada sektor sosial demi meraikan usaha gigih mereka selama ini.

SGHA merupakan inisiatif bersama antara Star Media Group dan Yayasan Gamuda bagi menunjukkan komitmen masing-masing terhadap usaha menyokong kerja-kerja amal dalam kalangan komuniti tempatan.

Sementara itu, Yeow dalam ucapannya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Gamuda atas kesediaan berterusan pihak berkenaan mengambil bahagian dalam Star Golden Hearts Award.

Jelasnya, ia adalah satu langkah untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia menceburkan diri dalam bidang bermanfaat.

"Mewakili Star Media Group, kami ingin berterima kasih kepada Yayasan Gamuda atas sokongan berterusan mereka terhadap anugerah ini.

"Terima kasih kerana berkongsi visi dan kepercayaan yang sama dalam anugerah yang cukup berprestij serta bermakna ini. Dengan itu, bersama-sama kita mendukung perubahan melalui kerjasama yang konsisten," kata Yeow.

Ketua Yayasan Gamuda, Ts. Lim Hui Yan berkata, bagi menghormati usaha dilakukan pemenang terhadap perubahan sosial, geran GIA berperanan menyerlahkan komitmen dan semangat pemenang yang tidak berbelah bahagi dalam memajukan negara.

"Anugerah ini bertujuan meraikan pencapaian mereka dan sebagai dorongan untuk terus memberi impak positif kepada dunia.

"Kami gembira dengan pencalonan tahun ini kerana ramai yang terlibat secara aktif dalam mempelbagaikan inisiatif sosial serta menonjolkan tumpuan penuh terhadap pemuliharaan alam sekitar.

"Pemenang GIA tahun ini menunjukkan potensi untuk berkolaborasi dalam mewujudkan dunia yang lebih baik bagi hidupan darat dan marin. Usaha mereka akan terus memberi inspirasi kepada kita semua," tambahnya.

Untuk tahun kesembilan berturut-turut, barisan para juri terhormat Star Golden Hearts Award diketuai oleh Tan Sri Lee Lam Thye di samping pakar yang banyak terlibat dalam sektor kebaikan sosial negara. Mereka dipilih berdasarkan pengetahuan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Lee sebagai ketua juri berpendapat program yang dijalankan telah menyaksikan perkembangan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh beliau terlibat dalam proses penilaian anugerah berkenaan.

“Terbabit selama sembilan tahun sebagai juri, saya melihat bagaimana program anugerah itu menunjukkan penambahbaikan.

"Malah, anugerah ini juga merupakan satu detik yang dinantikan kerana ia memberi saya peluang untuk melihat hasil kerja yang dilakukan rakyat Malaysia dalam membantu orang ramai serta komuniti selain haiwan yang terdedah kepada isu alam sekitar.

"Ia sangat mengagumkan untuk melihat bagaimana usaha gigih mereka selama ini telah membuahkan hasil," kata Lee.

Sementara itu, barisan panel juri turut terdiri daripada Ketua Pegawai Kandungan SMG, Esther Ng; Ketua Komunikasi dan ESG Kumpulan Gamuda Berhad, Ong Jee Lian; Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak dan Pakar Pemuliharaan, Shah Redza Hussein; Pengurus Unit Perusahaan Sosial Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Muhammad Hafizul Khair Mohd Yusuf; Naturalis, Pemulihara dan Pendidik Alam Sekitar, Irshad Mobarak; aktivis sosial terkemuka, Syed Azmi Alhabshi; serta Perunding Perlindungan Kanak-Kanak juga bekas Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Vijayakumari Pillai.

Sepanjang majlis anugerah berlangsung, para tetamu teruja dengan persembahan murid autisme, Sarah Ow bersama Joshua Danial Johnson, pelajar pemenang SGHA tahun 2022, Edwin Nathaniel yang menyanyikan lagu dengan petikan gitar akustik.

Selain persembahan itu, tetamu turut berpeluang mendengar sendiri kisah pemenang SGHA dan GIA 2022 iaitu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Iskul Sama Dilaut Omadal yang sempat berkongsikan cabaran mereka dalam memperjuangkan komuniti di Pulau Omadal, Sabah.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut, sila layari laman rasmi sgha.com.my.

Edisi khas berhubung pemenang Star Golden Hearts Award akan diterbitkan pada November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram