
BEBERAPA penemuan mengerikan dikesan pekerja yang terlibat dalam projek tebatan banjir Sungai Klang di bawah kerajaan negeri Selangor sejak ia dimulakan pada 1 November 2022.
Menurut Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin, lebih 10 mayat termasuk seorang bayi ditemui di dalam sungai itu sepanjang tempoh kerja dijalankan.
Katanya, setiap kali berlaku penemuan mayat, pihaknya akan segera memaklumkan kepada polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
BACA LAGI: Nahas Gerik: Puspakom sahkan brek bas bawa pelajar UPSI berfungsi
“Kebiasaannya, mayat-mayat yang ditemui masih dalam keadaan sempurna,” katanya.
Mengulas lanjut, Syaiful berkata, selain penemuan mayat, sebanyak 94,000 tan metrik sampah terapung telah dikumpulkan di sepanjang Sungai Klang bermula tahun 2016 hingga April 2025.
“Orang ramai perlu ubah mentaliti dan hentikan tabiat membuang sampah atau apa sahaja ke dalam sungai,” katanya kepada media selepas lawatan tapak ke kawasan sungai di Kota Kemuning, Selangor pada Isnin.
Tambah beliau, kerja-kerja mendalamkan dasar sungai turut mendedahkan pelbagai barangan luar biasa yang menimbulkan persoalan bagaimana objek-objek itu boleh berakhir di dasar sungai.
Antara barangan yang ditemui di dasar Sungai Klang termasuk peralatan elektrik seperti peti sejuk, tayar lori, motosikal serta perabot seperti katil dan sofa.
“Kita boleh andaikan sebahagian daripadanya dihanyutkan semasa banjir, tetapi jumlah yang ditemui adalah terlalu banyak.
“Sebenarnya ada antara barangan ini boleh dikitar semula,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya masyarakat mempunyai kesedaran sivik dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sungai. — The Star/VIJENTHI NAIR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram