
SATU insiden mengejutkan berlaku dalam Kejohanan Liga Futsal Nusantara 2025 yang berlangsung di Sarana Olahraga (SOR) Ciateul, Kabupaten Garut, Jawa Barat, Indonesia pada Ahad.
Sebuah video yang tular di media sosial memaparkan pemain pasukan lawan, Sinjay FC melakukan kekasaran terhadap pemain Pusaka FC, yang mengakibatkan salah seorang pemain Pusaka FC mengalami kecederaan bahu.
Video berdurasi 58 saat yang dikongsikan oleh akaun Instagram rasmi Pusaka FC, @pusaka_futsalclub, menunjukkan beberapa insiden yang mana pemain Sinjay FC secara sengaja melakukan kekasaran terhadap pemain Pusaka FC semasa perebutan bola.
Tindakan berkenaan jelas membahayakan keselamatan pemain lawan dan menimbulkan persoalan mengenai etika dalam sukan futsal.
"Apakah layak pemain seperti ini ada dalam Liga Futsal? Liga Futsal bukan Liga Pencak Silat atau Ultimate Fighting Championship (UFC).
"Untuk pengetahuan, salah satu pemain Pusaka FC mengalami kecederaan bahu akibat kekasaran pemain lawan," katanya.
Tindakan kekasaran itu bukan sahaja mencemarkan imej Liga Futsal Nusantara, tetapi juga menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan pemain dan perlunya penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat dalam kejohanan futsal di Indonesia.
Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.
Namun, insiden kekasaran tersebut jelas mencacatkan perjalanan kejohanan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain sukan futsal mengenai tahap kekerasan yang boleh diterima dalam sukan tersebut.
Susulan kejadian itu, Pusaka FC berharap agar pihak penganjur Liga Futsal Nusantara mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang terlibat dalam insiden kekasaran tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram