
SEORANG pemuda menyaksikan satu situasi yang menyayat hati apabila seekor anak gajah liar cedera parah selepas terperangkap dalam jerat berdekatan sempadan ladang kelapa sawit, kebun durian dan hutan berhampiran Felda Neram Satu, Terengganu.
Menerusi video tular di TikTok berdurasi 44 saat menunjukkan seekor gajah betina (ibu) tetap setia berada di sisi anaknya berikutan ia dipercayai terperangkap dalam jerat haram yang dipasang untuk babi hutan di kawasan terpencil itu.
Apa yang lebih menyentuh hati ialah tindakan ibu gajah tersebut yang seolah-olah menunggu di sisi anaknya, seakan-akan berharap akan ada manusia yang datang membantu.
BACA LAGI: Kesal insiden anak gajah maut dilanggar pada Hari Ibu, 3 selebriti wanita luah rasa sebak
Menurut pemilik akaun TikTok yang juga penduduk tempatan, Mohamad Affendi Alwi, 34, dia adalah orang pertama yang menyedari kejadian itu selepas terlihat kelibat gajah-gajah berhampiran ladang kelapa sawit yang bersebelahan dengan kawasan hutan.
"Selepas melihat gajah-gajah itu, saya terus menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Syukur mereka tiba dengan segera untuk menjalankan operasi menyelamat. Pasukan Perhilitan berjaya melepaskan anak gajah itu dari jerat dan melepaskannya semula ke habitat asal,” katanya.
Mohamad Affendi berkata, dia terdoring untuk membantu kerana ia melibatkan nyawa haiwan yang dilindungi.
"Kalau kami lambat bertindak, anak gajah itu mungkin mati kerana kawasan ini sangat terpencil dan tidak ramai orang lalu-lalang," katanya.
Pemuda itu menggambarkan situasi menyelamat itu sebagai sangat menyentuh hati, terutamanya apabila melihat ibu gajah tetap setia menemani anaknya.
"Sangat menyedihkan melihat anak gajah yang cedera itu, dan si ibu hanya menunggu di situ. Haiwan pun tahu erti kasih sayang. Kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga alam semula jadi. Bila saya pandang mata anak gajah itu, terasa seolah-olah ia meminta tolong," tambahnya.
Mohamad Affendi turut meluahkan rasa kecewa terhadap individu tidak bertanggungjawab yang memasang jerat secara sembarangan.
"Saya rasa ini bukan kerja petani kerana kawasan itu bukan tempat lembu atau kerbau dilepaskan. Jerat itu mungkin dipasang untuk babi hutan atau haiwan lain.
"Kejadian ini menunjukkan betapa perlunya penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aktiviti pemburuan haram yang semakin mengancam spesies hidupan liar di negara kita," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram