
TRAGEDI seekor anak gajah yang maut selepas dilanggar oleh sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli ketika cuba melintas jalan bersama ibunya nyata mengundang kesedihan ramai.
Lebih memilukan, ia berlaku pada Hari Ibu iaitu pada 11 Mei lalu, sekali gus menjadi simbol naluri keibuan dan mencerminkan kasih sayang seorang ibu tiada tandingan.
Ia selepas ibu gajah terbabit dilihat tidak berganjak dari sisi anaknya yang terperosok di bawah lori berkenaan.
BACA LAGI: Walau bisnes jamu maju, Tya komited tambah ilmu, ambil kursus pendek di Oxford
Susulan itu, tiga selebriti wanita tanah air iaitu Thanuja Ananthan, Yuna dan Nadia Brian tampil lantang menyuarakan keprihatinan dan kekecewaan mereka terhadap insiden menyayat hati itu.
Bekas Ratu Cantik Malaysia 2009 yang juga aktivis haiwan, Thanuja Ananthan, 45, menzahirkan kesedihannya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
"Terlalu kecewa untuk terus berdiam diri. Hati berkecai tonton video ibu gajah. 100 kali menangis," luahnya dalam ruangan kapsyen.
Beliau turut menggesa pihak berkaitan untuk menggunakan kepakaran terbaik bagi membantu spesies terbabit kembali ke habitat asal selain mendoakan si ibu gajah berkenaan.
"Semoga kamu dikurniakan seekor lagi anak dalam hidup untuk disayangi dan semoga tidak perlu lagi menyeberang lebuh raya sepanjang hari-hari anda," tulisnya.
Selain itu, penyanyi dan penulis lirik, Yuna, 39, turut berkongsi rasa kecewa dan marah di akaun Threads beliau.
“Kita perlu lakukan lebih baik, Malaysia. Apa yang boleh kita lakukan untuk bantu lindungi hidupan liar?” ujarnya sambil mencadangkan pemasangan bonggol jalan atau jalur bergetar di kawasan lintasan haiwan sebagai langkah pencegahan.
Tidak terkecuali, Pelakon Nadia Brian, 34, pula memuat naik beberapa keping gambar beliau bersama gajah dengan kapsyen yang mengimbas semula detik menyayat hati itu.
“Teringat ibu gajah yang kehilangan anaknya. Susah untuk lupakan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram