Kenderaan berat wajib guna peranti had laju mulai Oktober, perlu diperbaharui setiap 2 tahun


  • Massa
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Kenderaan berat perlu memasang SLD bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya seperti mana disaksikan kebelakangan ini.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD) akan dikuat kuasa terhadap kenderaan berat secara berfasa dengan fasa pertama akan diadakan pada Oktober.

Jelasnya, penguatkuasaan akan dimulakan dengan pengesahan peranti dan pengaktifannya dengan peraturan penuh akan berkuat kuasa pada Julai tahun depan.

Dalam fasa pertama, kenderaan berat komersial yang didaftar selepas 1 Januari 2025 perlu mendapatkan pengesahan bahawa SLD berfungsi dengan baik sebelum Oktober.

BACA LAGI: Nahas bas UPSI: 'Jangan nyatakan sesuatu tak benar'  — Anthony Loke

BACA LAGI: Nahas bas UPSI: Dakwaan pemandu bas kejar ‘trip’ masih spekulatif — Anthony Loke

Loke menjelaskan peranti tersebut boleh diperolehi daripada bengkel yang mempunyai perakuan JPJ.

Peraturan tersebut akan diguna pakai terhadap semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan berat yang ditetapkan had berat melebihi 3,500 kilogram (kg).

Pengesahan SLD boleh diperolehi daripada kilang menghasilkan kenderaan, penyedia khidmat dan kelengkapan teknikal serta bengkel yang diperakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Ia perlu diperbaharui setiap dua tahun. Dokumen diperlukan perlu dibawa ke pusat pemeriksaan kenderaan ketika memohon permit baharu atau memperbaharui yang sedia ada," katanya.

Loke berkata demikian dalam satu sidang media pada Jumaat sambil menegaskan kenderaan berat yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2015 wajib mengakifkan SLD pada fasa kedua pelaksanaan.

"Dokumen yang mengesahkan pengaktifan peranti juga perlu diperbaharui setiap dua tahun dan wajib berada dalam kenderaan setiap masa sekiranya terdapat pemeriksaan pihak berkuasa," katanya dengan mengatakan langkah penguatkuasaan bermula Januari depan.

Pemasangan SLD diharapkan mampu mengurangkan risiko kemalangan ngeri pada masa akan datang.

Jelasnya lagi, kenderaan berat melebihi 3,500 kg dan yang membawa lebih lapan penumpang tidak memiliki SLD ketika ini perlu memasangnya berdasarkan peraturan JPJ.

Awal minggu lalu, Loke berkata, kerajaan sedang merangka polisi yang merangkumi penggunaan peranti had laju wajib buat kenderaan berat dalam usaha memastikan keselamatan jalan raya.

Polisi yang sedang dirangka itu perlu disemak secara mendalam bagi memastikan tiada ruang buat mana-mana pihak mengambil kesempatan selepas ia dilaksanakan.

Tindakan tersebut diambil selepas sebuah bas persiaran yang bergerak dari Jertih ke Tanjung Malim terbabas selepas kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Nahas pada Isnin itu turut menyebabkan 33 yang lain cedera, termasuk pemandu bas yang sudah ditahan bagi membantu siasatan. — The Star/GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram