
LEMBAGA Tabung Haji (TH), sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila menerima anugerah berprestij ‘Diamond Award’ hasil prestasi cemerlang institusi pengurusan haji berkenaan.
Anugerah yang julung kali dimenangi itu disampaikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada TH di Majlis Anugerah Labaytum 2025 sebagai tanda mengiktiraf kecemerlangannya dalam pengurusan jemaah haji yang lancar bagi musim Haji 1446H/2025M.
Sebelum ini, TH telah memenangi anugerah Labaytum untuk dua tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, TH menerima dua anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik bagi Pejabat Hal Ehwal Haji dan Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik. Pada tahun 2024 pula, TH menerima Anugerah Labaytum dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Hal Ehwal Haji.
BACA LAGI: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Suci
Anugerah ‘Diamond Award’ merupakan pengiktirafan tertinggi dan paling eksklusif dalam Anugerah Labaytum, yang mendahului kategori-kategori am.
TH diiktiraf sebagai penerima Anugerah ‘Diamond Award’ atas penilaian berdasarkan kualiti perkhidmatan yang unggul dari segi operasi, teknologi, kesihatan, logistik, bimbingan ibadah, dan tahap kepuasan jemaah Haji yang tinggi sehingga melebihi 95 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, anugerah ini terus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai antara negara yang terbaik dalam pengurusan hal ehwal haji.
"Kami amat berbangga kerana dapat meletakkan Malaysia sebagai penanda aras kecemerlangan pengurusan haji di persada dunia. Tahniah diucapkan kepada pasukan pengurusan dan warga TH yang berdedikasi dalam menyempurnakan satu lagi operasi musim haji," katanya.
Senator Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar (dua dari kanan) bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji. — TH
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain pula berkata, pengiktirafan tertinggi yang diperoleh di Anugerah Labaytum membuktikan komitmen TH terhadap inovasi dan amalan terbaik demi manfaat jemaah haji Malaysia.
"TH sangat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini daripada Kerajaan Arab Saudi. Kami tekad untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Anugerah Labaytum adalah pengiktirafan tahunan yang disampaikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada delegasi pengurusan haji dari seluruh dunia yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam operasi haji semasa Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Makkah.
Menekankan daya penggerak di sebalik pencapaian TH, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mustakim Mohamad, menjelaskan TH meletakkan sepenuh komitmen bagi memastikan kebajikan, keselesaan dan keselamatan jemaah Haji Malaysia sentiasa diutamakan.
"Kami memegang amanah untuk menguruskan hal ehwal Haji jemaah Malaysia. Oleh itu, kami melaksanakan usaha berterusan bagi memastikan kualiti pengurusan jemaah haji Malaysia dipertingkatkan.
"Kejayaan ini juga adalah hasil sinergi bersama Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta semua agensi yang terlibat dalam urusan Haji demi keselesaan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram