Hutang PTPTN cecah RM5 bilion, 400,000 peminjam tak pernah bayar


  • Massa
  • Selasa, 10 Jun 2025

PTPTN menjelaskan bebanan hutang ditanggung kerana kegagalan peminjam untuk membayar.

NILAI tunggakan bayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setakat ini sudah mencecah RM5 bilion selepas seramai 400,000 peminjam tidak pernah langsung membayar pinjaman dilakukan.

Menurut laporan Buletin TV3, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, angka tersebut membabitkan peminjam yang sudah menamatkan pengajian 10 tahun lalu ke atas.

“Ini membabitkan mereka yang dari hari pertama sehingga sekarang. Kumpulan tegar ini selepas 10 tahun yang tidak pernah bayar sekali pun yang membabitkan 400,000 orang peminjam dengan nilai pinjaman RM5 bilion,” katanya.

BACA LAGI:Hampir separuh peminjam PTPTN belum buat pembayaran balik terima bantuan STR — Zambry

BACA LAGI:Jumlah pelajar orang asli di IPT, TVET terus meningkat — Zambry

Zambry menjelaskan kegagalan pembayaran semula yang akhirnya membebankan PTPTN.

Zambry berkata demikian dalam Sesi Taklimat Menteri Pendidikan Tinggi bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid menjelaskan pihaknya sentiasa membuka ruang untuk berbincang supaya peminjam boleh membuat pembayaran dengan selesa dan tidak membebankan.

Katanya, PTPTN mempunyai pelan pembayaran fleksibel dan penstrukturan semula pinjaman untuk membantu peminjam yang berdepan masalah.

“Sekiranya mereka mempunyai tunggakan yang besar kita akan minta pendahuluan dengan jumlahnya boleh dibincangkan dengan pegawai. Kita tidak akan minta sehingga 100 peratus atau 50 peratus, ia boleh jadi beberapa bulan ansuran bulanan yang tertakluk kepada tempoh mereka tertunggak.

“Kedua, jumlah yang perlu dibayar pula kita akan lihat pada slip gaji mereka dan mungkin sekitar lima ke enam peratus pada gaji bulanan. Kita juga lihat pada umur peminjam.

“Kalau peminjam sudah berusia 40 tahun, tempoh bayaran boleh dilanjutkan sehingga 60 tahun dan kita ada beberapa parameter dalam menentukan berapa rendah ansuran bulanan yang boleh kita berikan dan amaun bayaran secara permulaan. Kebiasaannya ia seminimum tiga hingga enam bulan ansuran,” katanya lagi.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram