[VIDEO] Seakan tahu akan 'pergi' selamanya, arwah anggota FRU beli rumah, kereta, buka akaun simpanan untuk setiap anak


  • Bonda
  • Selasa, 20 Mei 2025

INSIDEN kemalangan ngeri yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam buat keluarga mangsa.

Namun terselit juga satu kisah pengorbanan penuh kasih seorang suami serta bapa yang cekal berkhidmat demi negara dan keluarganya.

Antara terkorban dalam nahas tersebut ialah anggota FRU yang dikenali sebagai Mohd Roslan Abdul Rahim seorang lelaki penyayang dan bertanggungjawab.

BACA LAGI: Landskap tropika premium, seni halaman kediaman sentuhan profesional, bukan sekadar pokok dan rumput

BACA LAGI: 6 jenis karpet mampu ubah pandangan setiap ruang rumah, corak geometri, permaidani tangga paling 'hot' tahun ini

Meskipun pemergiannya secara tiba-tiba mengejutkan isteri dan anak-anaknya, namun arwah telah menyusun serta menyediakan keperluan hidup mereka dengan cukup rapi seolah-olah telah menjangka kemungkinan yang tidak diduga.

Isteri arwah dalam satu perkongsian penuh emosi meluahkan rasa syukur dan cinta yang tidak terhingga terhadap suaminya:

“Dia sediakan semua untuk kami. Alhamdulillah. Kita tak tahu. Terima kasih, Allah.”

Menurutnya, arwah tidak pernah alpa terhadap tanggungjawab sebagai ketua keluarga meskipun jadual kerjanya padat.

Beliau bekerja sejak awal pagi dan hanya pulang lewat malam, namun masih mengambil masa untuk menyusun masa depan keluarga dengan teliti.

Arwah bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selesa, malah turut mengurus hal kewangan dengan bijak.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datin Seri Norliza Abdul Rahim menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN terkejut apabila melihat rekod arwah untuk memastikan kelangsungan keluarganya.

"Dia ada akaun SSPN Prime, SSPN Plus. Dia buka untuk semua anak yang banyak dia potong setiap bulan. Jumlah keseluruhan RM193,000. Semua untuk anak-anak. Alhamdulillah," kata Norliza

Malah, beliau turut mengambil perlindungan takaful, bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk ahli keluarga yang lain, termasuk kakak perempuannya.

Semua itu dilakukannya dalam diam, tanpa mengharapkan balasan, hanya demi memastikan keselamatan dan masa depan isteri serta anak-anak terus terjamin meskipun beliau tiada lagi di sisi.

Arwah juga dikenali sebagai seorang yang tegas namun penyayang terhadap anak-anak:

"Dia pesan jangan marah-marah anak-anak. Sebab dia tahu saya ini garang. Dia cakap jaga anak-anak.

Pemergian arwah bukan sahaja meninggalkan kekosongan buat keluarganya, tetapi juga meninggalkan teladan bagaimana seorang lelaki menyusun masa depan keluarga dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang walaupun tidak tahu bila masanya akan dipanggil Ilahi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram