
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2024 sebanyak 4.05 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kadar dividen 4.05 peratus itu akan memberi manfaat kepada lebih 6.77 juta akaun pendeposit dengan jumlah agihan dividen berjumlah RM439.87 juta.
Katanya, semakan penyata simpanan boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN bermula 2 Mei 2025.
BACA LAGI: Kerajaan pertimbang laksana semula sekatan peminjam gagal bayar PTPTN ke luar negara
"Keuntungan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen Simpan SSPN sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004 mencecah RM2.12 bilion," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Turut hadir, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Zambry Abd Kadir menyempurnakan gimik Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025.
Tambah beliau lagi, peningkatan kadar dividen tahun ini berbanding 3.60 peratus pada tahun lalu mencerminkan kecekapan pengurusan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan yang efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum dapat diberikan kepada para pelanggan.
Peningkatan ini juga disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.
Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan.
"Kadar itu juga jauh lebih tinggi daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun 2024," ujarnya.
Dalam pada itu, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 dengan tambahan pulangan satu peratus kepada pendeposit yang menyimpan dalam jangka masa panjang dan sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan.
Kempen yang memasuki tahun keenam itu menawarkan ganjaran kepada pendeposit yang menyimpan minimum RM1,000 antara 1 Mei hingga 31 Julai 2025, dan terbuka kepada mereka yang membuka akaun antara 2004 hingga 31 Disember 2021.
Selain dividen tahunan, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, patuh syariah serta simpanan dijamin oleh kerajaan.
Setakat 31 Disember 2024, jumlah deposit terkumpul Simpan SSPN mencecah RM20.56 bilion dengan lebih 6.77 juta akaun direkodkan.
Tahun lalu sahaja, lebih RM3.17 bilion simpanan direkodkan, peningkatan sebanyak RM24.37 juta berbanding 2023.
Maklumat lanjut, sila layari portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my/simpan-sspn/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram