
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Rabu mengumumkan pengagihan dividen 4.05 peratus bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk tahun kewangan 2024.
Menurut laporan media tempatan, ia merupakan kadar tertinggi dalam tempoh sedekad.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peruntukan dividen itu berjumlah RM439.87 juta, yang akan memanfaatkan 6.77 juta akaun pendeposit.
“Jumlah pembayaran dividen SSPN kini mencecah RM2.12 bilion sejak diperkenalkan pada 2004,” katanya semasa sidang media pengumuman dividen SSPN yang pada Rabu.
Beliau juga menegaskan prestasi dividen itu mencerminkan kestabilan dan prestasi pelaburan SSPN yang konsisten, serta komitmen PTPTN menyediakan instrumen simpanan pendidikan yang menguntungkan rakyat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram