'Tengok konvoi van jenazah pun hati dah sebak', ramai doakan mangsa diberi ganjaran syurga


  • Massa
  • Isnin, 09 Jun 2025

Ramai warganet sebak melihat konvoi van jenazah yang bertolak ke Hospital Gerik pada Isnin untuk membawa pulang mangsa.

'SEMOGA semua mangsa diganjari syurga'.

Demikian komen-komen yang membanjiri setiap hantaran di media sosial mengenai nahas kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyaksikan sekurang-kurangnya 15 mangsa disahkan maut pada Isnin. 

Lebih memilukan apabila video memaparkan lebih 10 buah van jenazah dari Jerteh dan Besut yang bertolak ke Hospital Gerik pada Isnin, dengan tujuan membawa pulang jenazah mangsa tragedi jalan raya berkenaan. 

BACA LAGI: [VIDEO] 15 maut bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik

BACA LAGI: [VIDEO] Ya ALLAH! Anak saya dalam bas tu, tolong doakan selamat', ibu pelajar nahas bas UPSI sempat rayu sebelum terima khabar duka

Konvoi van jenazah yang bergerak secara teratur itu menarik perhatian ramai pengguna jalan raya dan orang awam yang tidak dapat menahan sebak melihat pergerakan beramai-ramai kenderaan tersebut. 

Gambar serta video konvoi berkenaan tular di media sosial yang mencetuskan luahan emosi dan doa daripada warga maya dengan semua berharap agar penuntut-penuntut ilmu terbabit diberikan syurga tertinggi kelak. 

"Tengok konvoi van jenazah pun hati dah sedih," komen warganet, Nur Azwanie Sulaiman.

"Tengok van jenazah berderet pun dah sebak. Apatah lagi keluarga mangsa. Semoga diberi ketabahan," kata warganet, Fara Nadya Zainuddin.

"Sebak hati tengok. Bakal pendidik semua itu. Semoga semua diampuni dosa dan diganjari syurga selaku penuntut ilmu. Takziah buat seluruh ahli keluarga terlibat," komen warganet Abu Abdillah Al-Muhammadiy. 

Difahamkan, semua van jenazah ini dihantar oleh pasukan sukarelawan dan agensi pengurusan jenazah di kawasan Besut dan Jerteh sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada keluarga mangsa.  

Sebelum ini, menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Lebuh Raya Timur-Barat Gerik-Jeli. 

Dalam kejadian tersebut, bomba memaklumkan bahawa seramai 45 orang menaik bas berkenaan dengan 43 daripadanya merupakan pelajar UPSI selain seorang pemandu dan seorang pembantu manakala kereta Alza pula dinaiki oleh empat orang.  

Tambahnya, akibat pelanggaran kedua-dua kenderaan, bas tersebut telah terbalik dan kereta telah terbabas ke dalam parit.

"Seramai 49 mangsa terlibat dalam kemalangan itu dengan 13 daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi di Hospital Gerik.

"Seramai 32 orang cedera (mangsa dari bas) dan tiga mangsa dari Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan seorang mangsa mengalami patah tangan," tambah laporan itu.

Difahamkan, seramai tujuh mangsa ditempatkan di zon merah, 20 di zon kuning dan enam lagi di zon hijau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram