[VIDEO] Pemandu 'lalok' rempuh kereta di Kluang sudah ditahan, ada 3 rekod jenayah — Polis


  • Kes
  • Ahad, 08 Jun 2025

Tangkap layar sebuah kereta Honda City yang dipandu lelaki dipercayai dalam pengaruh dadah merempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Jaya dekat Kluang.

SEORANG lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah selepas merempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Jaya dekat Kluang, Johor berjaya ditahan polis pada Jumaat.

Pemandu berkenaan yang berusia 40 tahun, dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta jenis Proton Saga dipandu peniaga berusia 36 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika suspek yang memandu kereta Honda City dalam perjalanan dari Taman Sri Kluang ke bandar Kluang.

BACA LAGI: 'Menderu air mata Acu bila dengar takbir', waris meratapi kehilangan 5 sekeluarga maut nahas di Jerantut

BACA LAGI: [VIDEO] 'Puas cari tapi tak nampak', remaja OKU di Melaka sesat cari lembu ditemukan lemah di belakang rumah jiran

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek dipercayai memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta Proton Saga dipandu mangsa.

"Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

 

 

 

Bahrin berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa dari Taman Sri Kluang cedera ringan, manakala suspek selamat tanpa kecederaan dan ditahan pada hari yang sama.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek juga mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah dan rekod jenayah," jelasnya lagi.

Tambah Bahrin lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penggunaan dadah.

Terdahulu tular beberapa video memaparkan sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentengan dan menyebabkan kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram