[VIDEO] Negara jiran puji melambung akhlak, budaya pelajar Malaysia usai tamat persekolahan


  • Massa
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Tangkap layar video yang memaparkan reaksi berbeza pelajar-pelajar dari Malaysia dan Indonesia setelah menamatkan persekolahan masing-masing. 

TAMAT persekolahan merupakan detik yang dinanti-nantikan oleh para pelajar sekolah menengah, menandakan mereka bakal melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan sama ada menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau mula memasuki alam pekerjaan.

Seiring dengan detik bermakna itu, majlis perpisahan atau perhimpunan terakhir sering kali dianjurkan sebagai tanda penutup kepada perjalanan mereka di alam persekolahan.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Shamsul Bahri Karim, memuat naik sebuah video yang memaparkan reaksi berbeza pelajar-pelajar dari Malaysia dan Indonesia setelah menamatkan persekolahan masing-masing. 

BACA LAGI : 'Itu ayah saya, bukan bahan lawak', hati anak terluka gambar sedih bapa jadi 'sticker' WhatsApp, difitnah kahwin lain

BACA LAGI :  [VIDEO] 'Puas cari tapi tak nampak', remaja OKU di Melaka sesat cari lembu ditemukan lemah di belakang rumah jiran

Video tersebut tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

Menerusi rakaman itu, pelajar-pelajar di Malaysia dilihat menzahirkan kesyukuran dengan cara yang sederhana dan penuh adab. 

Mereka dilihat berkumpul, berdoa dan memohon kesejahteraan untuk masa depan. 

Pada masa sama, para pelajar di sebuah sekolah menengah yang tidak didedahkan lokasinya itu juga turut mengucapkan terima kasih pada guru yang mengajar. 

Namun, reaksi pelajar di Indonesia mencetuskan perdebatan. Dalam video sama, segelintir pelajar di sana dilihat meraikan tamat persekolahan dengan gaya seperti berpesta, termasuk membuat tarian kurang sopan di persekitaran sekolah. 

Malah, lagu yang dimainkan dalam latar video itu turut dikritik kerana mempunyai lirik yang dikatakan mengkhayalkan dan tidak sesuai untuk persekitaran pendidikan.

Perbandingan yang jelas antara dua budaya ini mengundang pelbagai pandangan daripada masyarakat, khususnya berkaitan soal adab dan pendekatan meraikan kejayaan dalam konteks pendidikan.

Netizen rata-ratanya memuji sikap pelajar Malaysia yang lebih sopan dan menghormati suasana persekolahan, sementara ada yang melahirkan kebimbangan terhadap gejala yang boleh menjejaskan nilai murni dalam kalangan pelajar di negara jiran.

Seorang warganet yang juga merupakan rakyat Indonesia, Efdi Novial, menyatakan kekagumannya terhadap pendekatan yang diamalkan di Malaysia. 

"Bersyukurlah rakyat Malaysia kerana masih teguh memegang syariat Islam. Di tempat kami, walaupun majoriti beragama Islam, perjuangan untuk menegakkan syariat masih sangat mencabar," katanya. 

Sementara itu, Slamet Wahyudi yang pernah menetap beberapa bulan di Malaysia turut memuji sistem pendidikan dalam negara. 

"Saya pernah tinggal seketika di Malaysia dan memang nyata perbezaan tingkah laku pelajar di sana. Kita boleh belajar daripada cara mereka. 

"Sudah tiba masanya untuk kita tinggalkan kebiasaan yang kurang baik. Para guru juga perlu menjadi teladan sebenar. 

"Di Malaysia, hampir semua guru boleh berbahasa Inggeris dan mesyuarat rasmi juga dijalankan dalam bahasa tersebut. Sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa memantau anak-anak walaupun selepas waktu belajar," tulisnya. 

Perkongsian ini sekali lagi membuka perbincangan tentang tanggungjawab bersama pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat dalam membentuk sahsiah pelajar serta cara meraikan kejayaan tanpa mencemarkan nilai moral dan adab yang sepatutnya dijunjung.

Video tersebut sekali lagi membuka ruang perbincangan mengenai peranan sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam membentuk sahsiah pelajar serta cara meraikan kejayaan tanpa mengetepikan nilai dan batasan yang wajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram