
SEORANG cikgu wanita di sebuah sekolah di Melaka yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami orang sehingga menjadi bualan hangat warga maya direhatkan daripada tugas mengajar sehingga siasatan terhadapnya selesai.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun guru wanita itu masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam.
"Kita sudah pun mengambil sikap (langkah) untuk memastikan bahawa siasatan berlangsung, maknanya kita ambil tegas untuk pastikan tiada gangguan dalam siasatan itu.
BACA LAGI : KPM siasat kes guru didakwa malukan murid beramai-ramai, berkali-kali ingatkan patuhi etika — Fadhlina Sidek
"Pada ketika ini, dia (guru wanita) itu kita keluarkan (rehatkan) dari sekolah (itu) namun masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam sementara siasatan terhadapnya selesai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang juruelektrik berstatus suami orang sehingga menjadi bualan hangat warganet di media sosial.
Fadhlina Sidek
Tambah Fadhlina lagi, pihaknya memandang serius perkara tular berkenaan dan mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan semua guru mematuhi integriti serta etika perguruan yang ditetapkan kementerian.
Katanya, beliau turut memberi jaminan setiap apa yang diadukan mengenai akhlak dan kelakuan guru diambil perhatian sepenuhnya kerana ia membabitkan soal imej seorang pendidik.
"KPM ambil serius (segala isu berkaitan etika guru) baik yang dilakukan secara rasmi (mahupun sebaliknya). Dalam perkara ini, siasatan (sedang dilakukan).
"Kita mengambil tanggungjawab penuh untuk pastikan guru-guru kita ini mematuhi semua integriti dan etika perguruan yang ditetapkan oleh KPM," katanya.
Media sosial pada Selasa heboh dengan isu berkaitan guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang apabila wanita itu tampil membuat permohonan maaf hingga mendapat kecaman warganet.
Ia susulan perbuatan tidak bermoral guru itu terbongkar apabila beberapa tangkap layar perbualan berunsur lucah dan tidak senonoh antara dia dengan lelaki berkenaan tular di aplikasi WhatsApp.— The Star/N. TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram