
IBADAH berkorban yang diadakan setiap kali sambutan perayaan Aidiladha membawa makna tersendiri kerana seseorang perlu mengorbankan sesuatu yang disayangi untuk menjalani tuntutan tersebut.
Itu yang dilalui penternak lembu, Khairul Johari Muhammad Dinie, pada Aidiladha kali ini apabila diberikan ujian berbeza buatnya kerana dia perlu berpisah dengan ternakan kesayangannya.
Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya, dia menceritakan bagaimana haiwan tersebut, iaitu lembu yang diternak lebih dari setahun itu menjadi penemannya meskipun terdapat lambakan haiwan lain di ladang miliknya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ayam dan itik tak sah korban, bukan semua binatang 4 kaki kategori haiwan An'aam'
BACA LAGI: Hampir 70,000 ternakan dibekalkan untuk ibadah korban sempena Aidiladha — KPKM
Ibadah korban dituntut bagi seseorang yang berkemampuan.
Menurutnya, haiwan tersebut menjadi tempat untuknya meluahkan tekanan dan perasaan kerana dia sedar perkongsian dilakukan terhadap manusia lain tidak memberi ketenangan seperti mana dibuat bersamanya.
"Sebelum saya memilih bidang ternakan, saya menjalankan perniagaan kosmetik tetapi saya jatuh kerana penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini kerana pemborong dari China sudah menembusi pasaran atas talian, jadi saya tidak dapat bersaing.
"Jadi, selepas pernah berada di atas sebelum terjatuh, kita pasti alami pelbagai tekanan. Jadi, untuk diceritakan kepada orang lain, termasuk isteri saya, mereka tidak akan faham. Oleh itu, saya bercerita dengan haiwan dan sebab itulah saya katakannya kawan baik saya," katanya kepada Majoriti.
Selain menternak lembu yang dinamakan Merah itu, Khairul Johari turut menjaga beberapa haiwan lain, termasuk kira-kira 100 ekor kambing dan enam ekor buaya di ladang miliknya sekitar Sepang, Selangor.
Khairul Johari menjalankan penternakan haiwan lain, termasuk kambing di ladang ternakannya sekitar Sepang.
Keputusan menceburi bidang tersebut sememangnya memberikan peluang buat penternak berusia 41 tahun tersebut untuk kembali meraih punca rezeki selepas penularan wabak Covid-19 memberi tamparan hebat kepadanya.
Jelasnya lagi, keputusannya untuk mengorbankan lembu berkenaan dibuat selepas dipujuk isterinya yang percaya haiwan sembelihan itu akan akhirnya memberi manfaat buatnya di akhirat kelak.
"Isteri saya kata, sampai bila nak simpan lembu itu kerana pada kesudahannya, ia akan mati dan akhirnya tidak membawa ke mana-mana, itu membuatkan saya terdiam. Kemudian, dia memesan kepada saya, mana tahu akan bertemu dengannya di akhirat nanti.
"Saya sedih untuk melepaskannya, tetapi selepas isteri menasihat sedemikian, kita pun hanya boleh reda. Sedih, tetapi inilah pengorbanan," katanya lagi sambil menyatakan Merah mula dibelanya ketika ia masih kecil.
Kisah dikongsikan Khairul Johari di laman Facebook peribadinya tersebut kian tular di media sosial dengan orang ramai pasti akan tersentuh menjelang sambutan Aidiladha pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram