
KEHAMILAN adalah satu fasa istimewa dalam kehidupan seorang wanita.
Namun, sebalik detik bahagia menanti kelahiran cahaya mata, ramai wanita terpaksa menghadapi pelbagai perubahan fizikal dan emosi termasuk yang paling ketara iaitu perubahan pada kulit dan wajah.
Baru-baru ini, kisah seorang wanita, Farah menjadi tular apabila wajahnya berubah secara drastik sepanjang lapan bulan kehamilan.
BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang
Ramai wanita terpaksa berdepan pelbagai perubahan fizikal dan emosi semasa kehamilan. — Gambar hiasan
Bukan sahaja mengalami jerawat yang bernanah, kulitnya juga kelihatan seolah-olah terbakar matahari dan dipenuhi garis-garis halus yang ketara.
Luar biasa itu bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah memberi kesan besar kepada Perubahan keyakinan dirinya.
"Saya sedar kulit saya berubah secara mendadak. Rutin penjagaan kulit harian langsung tidak berkesan.
"Saya bangun setiap pagi dengan kulit gatal, merah dan penuh cela. Pada masa itu, saya pun belum tahu saya sedang hamil," kata Farah.
Farah turut berkongsi ketidakselesaan penampilannya.
Namun, sokongan suami menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus menghadapi perubahan ini.
Kisahnya mencetus perhatian ramai dan membuka mata masyarakat tentang cabaran sebenar wanita hamil bukan sahaja fizikal, malah emosi.
Menurut Perunding Dermatologi dan Presiden Jawatankuasa Dermatitis Sentuhan Alahan Malaysia, Dr. Teeba Raja, perubahan kulit semasa kehamilan adalah fenomena biasa.
Sekurang-kurangnya 42 peratus wanita hamil mengalami jerawat terutamanya pada trimester pertama disebabkan peningkatan hormon androgen yang merangsang pengeluaran minyak (sebum).
Antara perubahan kulit yang sering berlaku termasuk jerawat, kulit berminyak, Melasma, Linea nigra (garis gelap pada perut), kulit kusam dan pigmentasi, tanda regangan (stretch mark), kekeringan dan kerengsaan kulit.
Tambah Dr. Teeba, walaupun kebanyakan perubahan itu bersifat sementara, sesetengah kes seperti melasma boleh menjadi lebih lama untuk pudar, malah ada yang kekal.
“Wanita hamil harus mengelakkan penggunaan produk seperti retinoid dan hidrokuinon yang boleh memberi kesan buruk kepada bayi.
"Sebaliknya, pilih produk yang lebih lembut seperti asid azelaic, niacinamide, serum vitamin C serta pelindung matahari spektrum luas," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Klinikal Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Putra Malaysia, Dr. Nurul Iftida Basri turut mengingatkan bahawa perubahan kulit tertentu tidak boleh dipandang ringan.
Contohnya, muka yang membengkak secara mendadak boleh menjadi tanda awal kepada preeklampsia iaitu komplikasi serius akibat tekanan darah tinggi dan pengekalan air berlebihan.
“Tekanan emosi, keletihan dan kurang tidur juga mampu memburukkan lagi keadaan kulit.
“Oleh itu, sokongan daripada pasangan dan keluarga sangat penting bagi memastikan ibu hamil terus stabil dari segi fizikal dan mental,” jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram