
DULI Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencuri tumpuan apabila berkenan menyertai booth preloved item bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.
Mereka mempersembahkan koleksi peribadi masing-masing sempena Majlis Pelancaran Bulan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-19 dan Tapak Car Boot Sale Kota Damansara, Selangor pada Isnin.
Ketibaan baginda disambut oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad dan barisan pimpinan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
BACA LAGI: Menitis air mata 'terserempak' wajah persis arwah nenek di Makkah, doa dimakbulkan
BACA LAGI: Lepas 'berhijrah' ke Pulau Siargao, Ben Amir buka Rasa Siargao perkenal masakan Malaysia
Tapak Car Boot Sale merupakan inisiatif MBPJ untuk membuka peluang perniagaan kepada belia.
Majlis itu menandakan permulaan 31 program sepanjang bulan Jun 2025 sebagai tanda meraikan ulang tahun ke-19 Petaling Jaya sebagai bandar raya sejak 2006.
MBPJ komited untuk meningkatkan perkhidmatan kepada warga Petaling Jaya supaya lebih cekap dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Pada majlis sama, Tengku Permaisuri Selangor turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) kepada PJ Eco Recycling Plaza sebagai pusat kelestarian alam sekitar pertama di bawah Pihak Berkuasa Tempatan.
Tapak Car Boot Sale merupakan inisiatif MBPJ untuk membuka peluang perniagaan kepada usahawan mikro dan belia secara mudah, fleksibel dan kos rendah.
Antara aktiviti menarik termasuk pameran kucing, cabutan bertuah dengan hadiah barangan elektrik serta agihan 300 anak pokok seperti limau, sup, kari, jambu bertih dan pudina.
Datuk Bandar Petaling Jaya berkata, sambutan ulang tahun ini bukan hanya untuk meraikan kejayaan bandar raya, tetapi juga mengeratkan hubungan antara pihak berkuasa dan komuniti.
“Sebanyak 31 program telah dirancang sepanjang Jun sebagai tanda penghargaan kepada warga Petaling Jaya dan untuk memperkukuh hubungan antara MBPJ dan komuniti,” katanya.
Orang ramai boleh menikmati tempat letak kereta percuma dan akses ke fasiliti awam seperti kolam renang, gelanggang dan padang sukan MBPJ pada 20 Jun 2025.
Acara kemuncak pada 21 Jun 2025 akan menawarkan pelbagai inisiatif termasuk agihan 1,000 anak pokok dan edaran percuma ubat Abate bagi mencegah pembiakan jentik-jentik sebagai langkah membendung wabak denggi.
Untuk memupuk minat membaca, MBPJ menawarkan keahlian perpustakaan komuniti secara percuma dari 20 hingga 22 Jun 2025.
Pelbagai aktiviti keluarga juga dianjurkan seperti Picnic in The Park, On Street Games dan pertandingan bercerita dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Majlis penutup akan diadakan di Laman MBPJ dengan persembahan kebudayaan, perarakan oleh agensi kerajaan dan swasta serta konsert artis terkenal seperti Tomok, Salma Mentor, Roshini, Geraldine Gan, Man Raja Lawak dan Ali Puteh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram