
SEORANG warga Taiwan maut selepas tergelincir ke landasan LRT Pusat Bandar Puchong dalam kejadian yang berlaku pada Selasa.
Kejadian yang melibatkan lelaki berumur sekitar 40-an itu berlaku ketika waktu puncak semasa orang ramai mula menggunakan perkhidmatan awam tersebut untuk pulang daripada tempat kerja.
Menurut Rapid KL dalam kenyataannya, beberapa tren terpaksa berpatah balik dengan pihak mereka perlu mengaktifkan bas perantara percuma sebagai alternatif.
BACA LAGI: Polis siasat portal berita dakwa penemuan mayat Pamela Ling di Petaling Jaya
BACA LAGI: Tiba masanya semua platform media lebih beretika, bukan kaut untung semata-mata — Fahmi Fadzil
"Pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan alternatif seperti berikut iaitu tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Puchong Perdana. Tren dari Stesen Sentul Timur akan berpatah balik dari Stesen Kinrara BK5. Bas perantara ulang-alik percuma telah disediakan di antara Stesen Puchong Perdana ke Stesen Kinrara BK5," ujar Rapid KL.
Dalam pada itu, pihak bomba mengesahkan yang mereka menerima panggilan ke tempat kejadian pada 6.05 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, ketika pihaknya sampai ke tempat kejadian, mangsa sudah tidak sedarkan diri.
"Jentera dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang dikerah ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dianggarkan berusia 40-an berada di bawah LRT dan disyaki meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram