
TONG gas ungu yang diperkenalkan pada 1 Mei lalu menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial yang khuatir penggunaannya akan memberi impak kepada peningkatan kos sara hidup.
Berdasarkan pengumuman sebelum ini, tong Gas Petroleum Cecair (LPG) itu perlu digunakan peniaga dengan pengenalannya dibuat sebagai langkah mengelak ketirisan subsidi barangan.
Namun, kerisauan mula melanda orang ramai kerana harga untuk mengisi tong dengan kapasiti 14 kilogram (KG) itu mencecah RM61.60 dengan terdapat kemungkinan ia akan meningkat sehingga RM70.
BACA LAGI: Bimbang harga barang naik, peniaga kecil sokong saranan tangguh dulu laksana tong gas ungu
BACA LAGI: 'Berapa nak bagi duit belanja anak?', ramai resah kos makanan naik disebabkan gas tong ungu
Ahmed Razman percaya pengenalan tong gas tersebut tidak memberi kesan terhadap ekonomi semasa.
Penetapan harga itu adalah terlalu tinggi berbanding kos ditetapkan bagi mengisi semula tong kegunaan harian atau LPG bersubsidi yang berada dalam lingkungan harga RM23 ke RM30.
Tetapi, bagi penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pelaksanaannya tidak akan memberi kesan rantaian seperti mana didakwa segelintir pihak di media sosial.
"Pertama, kita faham mengapa kerajaan mengambil langkah itu kerana ia bagi memastikan subsidi diperuntukkan bersasar, iaitu disalurkan ke golongan sepatutnya, iaitu golongan isi rumah.
"Jadi, tidak adil bagi saya untuk peniaga yang mengikut peraturan dan jual harga sama dengan mereka menggunakan tong gas bersubsidi untuk dapatkan keuntungan lebih besar," katanya kepada Majoriti.
Selain mendakwa pengenalan tong gas ungu menjadi punca kepada kenaikan kos barangan mentah, ada juga pihak mengatakan langkah kerajaan itu hanya akan membebankan pengusaha kecil yang tidak dapat meraih keuntungan berpatutan.
KPDN melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei lalu bagi memastikan tiada premis besar menggunakan tong LPG bersubsidi.
Namun, hakikatnya, hanya premis berskala besar seperti hotel, restoran besar dan dapur industri yang menggunakan lebih tiga tong LPG dalam satu masa diwajibkan beralih kepada LPG komersial.
Malah, untuk memastikan peraturan baharu itu dipatuhi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Oktober depan.
Ini merupakan langkah efisien kerajaan dalam memastikan penyaluran subsidi dimanfaatkan golongan isi rumah, namun dalam masa sama mengurangkan beban ditanggung peniaga dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
Ahmed Razman turut melihat pencegahan ketirisan bantuan itu dapat memastikan keadilan terjamin kerana kos operasi ditanggung adalah sama rata dengan tiada alasan bagi mereka meningkatkan harga penjualan sesuka hati.
"Sekiranya kerajaan memastikan semua peniaga berskala besar guna tong LPG sama, tidak akan ada implikasi kenaikan harga. Saya berkata demikian kerana perniagaan makanan dan minuman cukup kompetitif.
"Jadi, sekiranya ada peniaga menaikkan harga dengan alasan penggunaan tong gas ungu, dia sukar bersaing kerana orang ramai memiliki pilihan lain. Ini kerana sesiapa sahaja boleh menceburi bidang penjualan makanan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram