[VIDEO] Budak 2 tahun maut kemalangan di Muar, keluarga dakwa pemandu Alphard buat laporan polis palsu


  • Kes
  • Ahad, 01 Jun 2025

Tangkap layar video memaparkan MPV itu setelah berlaku kemalangan di kilometer 144.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara Isnin lalu.

KELUARGA kepada kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan tragis melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan Proton Saga menuntut keadilan selepas mendakwa pemandu kenderaan mewah itu memberikan laporan yang tidak benar kepada pihak polis.

Mangsa, Ayesha Sofea Anwaruddin yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang kedua pada 16 Mei lalu, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada otak (Severe Traumatic Brain Injury) pada 28 Mei 2025.

Kemalangan berlaku di lorong paling kiri Lebuhraya Utara-Selatan, apabila Proton Saga yang dipandu oleh bapa mangsa dilanggar dari belakang oleh Toyota Alphard itu. 

BACA LAGI: [VIDEO] Kali pertama dakap trofi UCL, penyokong PSG sambut kejayaan sampai 'terbakar' Paris

BACA LAGI: [VIDEO] Enam cedera termasuk wanita, trak TLDM terbabit kemalangan 5 kenderaan

Menurut keluarga mangsa menggunakan akaun Facebook, Muhammad Zuhair, pemandu Toyota Alphard membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa dia tidak sempat menekan brek kerana kereta di hadapannya (Proton Saga) tiba-tiba memperlahankan kenderaan di lorong perlahan.

Namun, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular dan dikongsi keluarga mangsa, tindakan pemandu Alphard itu menimbulkan persoalan mengenai kebenaran dakwaan tersebut.

Bukan itu sahaja, individu tersebut turut mempersoalkan kelajuan pemanduan Toyota Alphard tersebut di lorong paling kiri yang sepatutnya diperuntukkan untuk kenderaan yang lebih perlahan.

“Rujuk video dashcam dan nilaikan sendiri apa yang sebenarnya berlaku. Tergamak pemandu membuat laporan yang tidak benar semata-mata untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.

“Dimanakah mata pemandu ketika itu? Mengapa memandu laju di lorong perlahan? Jika kereta adik kami bertembung dengan lori di hadapan, sudah pasti kemalangan ini menjadi lebih parah," katanya memetik kenyataan pada Sabtu.

Kematian Ayesha Sofea meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga yang kini menuntut agar pelaku dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.

“Semoga mendapat keadilan untuk keluarga adik saya yang kehilangan anak perempuannya dan pelaku dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang supaya kejadian ini tidak berulang lagi dan menimpa keluarga anda di masa hadapan,” katanya.

Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status siasatan atau sebarang tindakan susulan terhadap pemandu Toyota Alphard tersebut. Keluarga berharap agar siasatan dijalankan secara telus dan berpaksikan kepada bukti, termasuk rakaman dashcam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkongsi bahawa kemalangan melibatkan dua kenderaan itu berlaku di kilometer 144.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Muar, Johor pada Isnin lalu.

Tangkap layar keterangan laporan polis pemandu Toyota Alphard yang mendakwa bahawa dia tidak sempat menekan brek. 

“Siasatan awal mendapati MPV yang datang dari arah selatan ke utara dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta terbabit hingga menyebabkan pemandunya hilang kawalan hingga terbabas lalu melanggar besi penghadang di bahu kiri jalan.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Saga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Muar untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, pada Rabu lalu, pihak polis menerima maklumat bahawa salah seorang penumpang Proton Saga meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.

Pada masa sama, ujian nafas dan darah ke mendapati pemandu MPV bebas daripada pengaruh alkohol dan bahan terlarang. Bagaimanapun, pihak polis membuka siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram