
MAHKAMAH Tinggi Syariah Melaka pada Jumaat memerintahkan denda sebanyak RM5,000, terhadap seorang guru wanita di sebuah sekolah di Melaka dan lelaki dikenali sebagai 'Abang Wiring & CCTV' selepas mengaku menjalinkan hubungan sulit.
Memetik laporan Astro Awani, mereka juga mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan zina pada 28 Februari lalu.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman tersebut selepas kedua-dua tertuduh, Nur Fadilah Zainal dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, masing-masing berusia 31 tahun membuat pengakuan bersalah.
BACA LAGI: Guru wanita disyaki skandal suami orang dikenali ‘CCTV & Wiring’ di Ayer Keroh sah direhatkan tugas
BACA LAGI: APAD batalkan lesen syarikat lori batu nahas korbankan 9 anggota FRU
Mesej tular yang membongkar perbuatan mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan individu yang bukan isteri atau suami sah di sisi syarak.
Mereka juga dilaporkan melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, dalam daerah Alor Gajah, Melaka kira-kira pukul 9 malam.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atraz Mohamad Zin dan dibantu Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah.
Dalam prosiding sebelum ini, Muhammad Hairul menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab ke atas Nur Fadilah yang merupakan ibu tunggal.
Muhammad Hairul Ezuan, yang juga bapa kepada tiga anak itu turut menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.
Sementara itu, Nur Fadilah memohon agar dendanya dikurangkan memandangkan dia menanggung sepenuhnya perbelanjaan anak tunggalnya yang berusia empat tahun, selain turut menyara ibu bapa di kampung.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Terdahulu, Nur Fadilah direhatkan daripada tugas mengajar sehingga siasatan terhadapnya selesai.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru wanita itu bagaimanapun masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram