
KEADAAN Blok 43 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Kuala Lumpur yang mengalami keretakan bukan berpunca daripada kerosakan struktur bangunan.
Keretakan itu malah berlaku pada 'expansion joint' yang merupakan satu komponen penting dalam reka bentuk bangunan berfungsi untuk menyerap pergerakan semula jadi struktur akibat perubahan suhu dan cuaca.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bahawa 'expansion joint' direka khas untuk mengelakkan kerosakan besar pada struktur utama bangunan.
BACA LAGI: Bimbang harga barang naik, peniaga kecil sokong saranan tangguh dulu laksana tong gas ungu
BACA LAGI: [VIDEO] Ayah asal seberang sanggup tinggal bawah jambatan, makan cuma sekali seminggu demi susu anak
"Oleh itu, kewujudan keretakan di bahagian tersebut bukanlah petanda bahaya, sebaliknya menunjukkan sistem tersebut sedang berfungsi dengan baik.
"Bagaimanapun, pemeriksaan terbaharu yang dijalankan mendapati terdapat beberapa kerosakan kecil pada komponen berkenaan yang dipercayai berpunca daripada perbuatan vandalisme," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
DBKL juga memaklumkan, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah sejak beberapa tahun lalu untuk memastikan tahap keselamatan bangunan berada dalam keadaan baik.
Antaranya adalah termasuk pelantikan syarikat perunding pada tahun 2020 untuk menjalankan kajian penilaian ke atas expansion joint di PPR Gombak Setia.
"Pada 2023, kerja-kerja baik pulih menyeluruh telah dilaksanakan di Blok 41 dan Blok 43.
"Beberapa kerja baik pulih turut dilakukan pada tahun 2024 pula, berdasarkan aduan semasa yang diterima," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan tapak terkini sudah dijalankan pada Selasa lalu bagi menilai keadaan semasa expansion joint, termasuk kesan daripada cuaca dan vandalisme.
Hasil pemeriksaan awal turut mendapati, kebanyakan komponen masih dalam keadaan baik, namun kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di lokasi yang dikenal pasti mengalami kerosakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram