
SARANAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Hj Abdul Ghani terhadap pihak kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaan tong gas petroleum cecair (LPG) ungu kepada peniaga kecil disokong ramai.
Mohd Azmawi sebelum ini berkata, penguatkuasaan itu juga perlu ditangguhkan dahulu terhadap pengusaha restoran, kedai makan dan penjaja kecil meskipun ia termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang ini telah berkuatkuasa sejak 15 Oktober 2021.
"Nilai had ambang penggunaan tong bersubsidi yang ditetapkan iaitu lebih 42 kilogram (kg) atau penggunaan lebih tiga tong gas LPG 14kg perlu dikaji semula dan dinaikkan kepada enam tong gas pada satu-satu masa.
"Ini adalah kerana ia boleh memberi kelegaan kepada peniaga kecil untuk meneruskan perniagaan tanpa perlu menaikkan harga makanan," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Kereta kena conteng di flat Keramat, pemilik dakwa angkara cop parkir
Mohd Azmawi mencadangkan saranan itu kepada pihak kerajaan.
Menurutnya, peniaga kecil juga terpaksa menyimpan bekalan LPG tambahan supaya operasi tidak tergendala.
Justeru, jika dihadkan kepada tiga tong sahaja, beliau berkata, ia hanya cukup untuk diletakkan di tempat penyediaan makanan, minuman dan dapur.
"Bagaimana jika salah satu tong gas ini habis? Sudah tentu menimbulkan kesukaran kepada mereka kerana mereka tidak boleh menyimpan lebih dari dari tiga tong.
"Sebab itu, saya ingin nyatakan jika peraturan ini dipinda pada 2021 dahulu mungkin pembuat dasar pada ketika itu terlepas pandang dari sudut realiti yang dihadapi di bawah.
"Maka, kerajaan harus melihat semula peraturan ini supaya ia lebih realistik dan dapat mengekang kenaikan harga makanan di restoran kecil, gerai makan dan penjaja yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sedang berusaha untuk kelangsungan hidup mereka," jelasnya.
Saranan itu juga disokong rata-rata peniaga kecil di Facebook yang akan terkesan dengan penguatkuasaan tersebut.
"Terima kasih kerana peka dan cepat bertindak. Saya wakil kepada peniaga di Gua Musang, Kelantan ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada tuan.
"Suara YB benar-benar mewakili kami peniaga kecil yang semakin tertekan. Kos makin tinggi, untung tak seberapa, tapi tetap dibebani pelbagai penguatkuasaan.
"Orang nampak kami macam berduit, tapi hakikatnya kami paling penat. Untung cukup-cukup untuk bayar komitmen. Bukan syarikat besar pun," komen Kamkah HQ.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa mana-mana peniaga menggunakan lebih daripada tiga tong LPG 14-kilogram pada satu masa diwajibkan memohon permit barang kawalan.
Katanya, langkah itu sama seperti ditetapkan di bawah Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram