Sistem pemilihan tidak adil dikata punca Rafizi pernah luah mahu letak jawatan


  • Politik
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Khabar angin cuti sebulan yang diambil oleh Rafizi mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan ahli dan penyokong parti politik itu sendiri ketika ini. 

KHABAR angin cuti sebulan yang diambil oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan ahli dan penyokong parti politik itu sendiri ketika ini. 

Isu itu semakin diperbesarkan apabila Ahli Parlimen Pandan tersebut mengambil cuti ketika proses Pemilihan Keadilan 2025 sedang berlangsung di seluruh negara sekarang.

Terbaharu, melalui laporan berita Malaysia Gazette yang memetik seorang penyokong setianya, Sinchew Daily melaporkan, Rafizi meluahkan hasrat meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan sistem pemilihan parti yang dianggap tidak adil.

BACA LAGI : PM Anwar jawab spekulasi keputusan Rafizi bercuti panjang

BACA LAGI : Dilapor ambil cuti, tidak hadir mesyuarat cetus spekulasi Rafizi letak jawatan Kabinet

Bagaimanapun, sumber parti menafikan khabar angin bahawa beliau telah mengosongkan pejabatnya atau mengambil langkah rasmi untuk berundur.

Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi, memohon cuti selama sebulan, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Mohd Rafizi akan bercuti sehingga 31 Mei.

Sumber lain turut memberitahu Sinchew Daily bahawa hala tuju Rafizi akan lebih jelas sekitar awal Mei selepas sebuah syarikat audit luar negara mengaudit sistem pemilihan PKR dan mengemukakan laporan.

Rafizi mencadangkan audit tersebut kepada Anwar berikutan suara tidak puas hati yang berterusan mengenai sistem pemilihan sedia ada.

Beberapa cabang PKR mengadakan pemilihan semula yang menyaksikan perubahan keputusan pada tiga jawatan ketua cabang, iaitu Selayang di Selangor, Jempol di Negeri Sembilan, dan Pasir Salak di Perak.

Tarikh pencalonan untuk MPP PKR juga dijadualkan semula dari 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei.

Anwar bagaimanapun menjelaskan tiada isu berbangkit berhubung status Mohd. Rafizi yang sedang bercuti panjang.

Anwar sebaliknya menyifatkan permohonan cuti sebagai perkara biasa bagi seorang pekerja dan beliau juga sedang mencari masa yang sesuai untuk bercuti.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram