[VIDEO] Rakaman pelantar minyak terbakar bukan berlaku di Sarawak, tiada kematian dilaporkan


  • Tular
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan sebuah pelantar minyak terbakar di luar pesisir selatan Vietnam. — Agensi

SEBUAH video pelantar minyak terbakar yang tular di media sosial baru-baru ini bukan berlaku di perairan Sarawak seperti yang didakwa, sebaliknya kejadian itu berlaku di luar pesisir selatan Vietnam.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku di pelantar minyak Song Doc, kira-kira 205 kilometer dari Tanjung Ca Mau pada petang Rabu.

Video kejadian turut dirakam dan tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial sehinggakan ada individu yang tidak bertanggungjawab mendakwa kejadian itu berlaku di perairan Sarawak.

BACA LAGI: Lesen memandu fizikal mudahkan urusan rakyat, lagi-lagi pekerja sektor e-hailing, penghantar makanan

BACA LAGI: [VIDEO] Sapu muka dengan krim buasir? Pakar dedah risiko bahaya trend TikTok

Menurut kenyataan rasmi daripada syarikat Petrovietnam Domestic Exploration Production Operating Co. Ltd (PVEP POC), kebakaran berlaku ketika kerja-kerja pembersihan dan pembongkaran sedang dijalankan ke atas pelantar minyak lama di medan Song Doc yang ditamatkan operasinya.

"Kebakaran berlaku semasa kerja penyahaktifan dijalankan oleh kontraktor sub kepada pelantar yang sudah tidak lagi aktif sejak Februari 2024," kata PVEP POC.

 

 

 

Menurut kenyataan itu lagi, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit.

"Tiada sebarang kemusnahan kepada alam sekitar mahupun operasi lain dalam sektor minyak dan gas di kawasan berdekatan.

"Selain itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan seperti yang didakwa sesetengah pihak," menurut kenyataan tersebut.

Siasatan sedang dijalankan oleh pihak PVEP POC bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Untuk makluman, Medan Song Doc, yang terletak kira-kira 205 kilometer dari Tanjung Ca Mau, ditemui pada tahun 2006 dan pernah mencatatkan pengeluaran puncak sekitar 28,000 tong minyak sehari.

Pelantar itu, pada mulanya diusahakan secara usaha sama oleh PVEP dan dua pelabur lain, medan tersebut mula mengalami penyusutan hasil dan peningkatan kos operasi, lalu tidak lagi ekonomik untuk diteruskan.

Sejak November 2013, PVEP mengendalikan medan itu secara bersendirian sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada hujung tahun 2023.

Terdahulu, rakaman video kejadian yang tersebar luas sejak Khamis itu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan warga maya sehingga ada yang menyangka ia berlaku di perairan Sarawak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram