
RAKYAT Malaysia kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan apabila mencatatkan perbelanjaan tertinggi untuk makanan di rumah berbanding negara-negara Asia Tenggara lain pada tahun 2023.
Menurut data terbaharu daripada Perkhidmatan Penyelidikan Ekonomi Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), setiap rakyat Malaysia membelanjakan purata sebanyak AS$1,940 (RM8,286 mengikut kadar pertukaran semasa) setahun bagi tujuan tersebut.
Angka itu mengatasi negara jiran seperti Singapura (AS$1,831), Thailand (AS$1,108), Filipina (AS$1,070), dan Kemboja (AS$898).
BACA LAGI : Ramai komplen nasi ayam gepuk mahal, rupanya gajus punca harga cecah belasan ringgit
Data itu bagaimanapun tidak mengambil kira kadar inflasi atau perbezaan kos sara hidup antara negara.
Menurut pakar, antara faktor utama yang menyumbang kepada perbelanjaan tinggi berkenaan termasuk kebergantungan kepada makanan import, nilai Ringgit yang lemah, kekurangan tenaga kerja ladang, peningkatan kos input seperti baja dan makanan haiwan, serta masalah monopoli dalam industri makanan.
Perlu komitmen tingkatkan produktiviti makanan
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, situasi itu menunjukkan keperluan segera untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik serta memperkukuh produktiviti sektor pertanian negara.
"Ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta. Selain itu, pembubaran monopoli, liberalisasi pasaran makanan, pengurangan kos logistik serta penambahbaikan kecekapan rantaian bekalan juga perlu dilaksanakan," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun Malaysia mempunyai pendapatan per kapita yang lebih tinggi berbanding beberapa negara serantau, perbelanjaan makanan di rumah Malaysia adalah hampir setara dengan Singapura dari tahun 2017 hingga 2023 malah mengatasi negara itu pada tahun lalu.
Tambah beliau, kadar inflasi untuk komponen makanan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia juga mencatatkan purata 3.1 peratus setahun antara 2020 hingga 2024, melebihi kadar inflasi keseluruhan CPI negara iaitu 1.8 peratus.
Corak perbelanjaan dan pilihan gaya hidup
Sementara itu, Penolong Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Teoh Ai Ni berkata, corak perbelanjaan untuk makanan di rumah dipengaruhi oleh kekerapan individu makan di rumah berbanding di luar.
"Data Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan rakyat Malaysia membelanjakan 52 peratus daripada bajet makanan mereka untuk makanan di rumah, berbanding 48 peratus untuk makan di luar. Sebaliknya, isi rumah di Singapura membelanjakan 68 peratus untuk makan di luar," jelasnya.
Katanya lagi, perbelanjaan yang tinggi tidak semestinya bermakna harga makanan di Malaysia lebih mahal, sebaliknya disebabkan pilihan gaya hidup dan tabiat pemakanan.
Beliau turut menjelaskan penggunaan mata wang dolar AS dalam laporan USDA tidak mencerminkan kuasa beli sebenar atau kekuatan mata wang sesebuah negara.
Malaysia negara pengimport makanan bersih
Penolong penyelidik KRI yang lain, Nik Syafiah Anis berkata, Malaysia juga merupakan antara negara ASEAN yang paling bergantung kepada makanan import, menjadikan negara mudah terdedah kepada gangguan rantaian bekalan global serta kenaikan harga antarabangsa.
"Contohnya, Malaysia mengimport hampir 95 peratus bekalan jagung, terutamanya dari Argentina, Brazil dan India.
"Jagung ini digunakan untuk makanan haiwan, makanan manusia, benih dan kegunaan industri," katanya.
Menurutnya, kebergantungan itu menyumbang kepada peningkatan kos makanan domestik, terutamanya apabila berlaku gangguan bekalan global, konflik geopolitik atau cuaca ekstrem akibat perubahan iklim.
"Akibatnya, harga makanan haiwan meningkat, yang kemudiannya mendorong kenaikan harga ayam, telur, ikan dan daging," jelas beliau.
Peratus pendapatan untuk makanan lebih rendah
Dr Teoh menambah bahawa walaupun rakyat Malaysia membelanjakan lebih banyak untuk makanan di rumah, peratusan pendapatan yang diperuntukkan bagi makanan adalah lebih rendah berbanding banyak negara lain di rantau ini.
"Ini kerana apabila pendapatan meningkat, perbelanjaan untuk keperluan asas seperti makanan akan menurun secara relatif, manakala perbelanjaan untuk perkara tidak asas seperti hiburan pula akan meningkat," katanya. — The Star/ DIYANA PFORDTEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram