[VIDEO] Tersentuh lihat kasih sayang pasangan tua ketika berniaga tepi jalan, Ajak Shiro borong semua ayam percik


  • Hiburan
  • Ahad, 25 Mei 2025

Ajak (gambar kecil) mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi tindakan mulianya memborong semua jualan ayam percik pasangan warga emas yang berniaga secara kecil-kecilan.

PELAWAK dan penyampai radio terkenal, Ajak Shiro mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi tindakan mulianya memborong semua jualan ayam percik pasangan warga emas yang berniaga secara kecil-kecilan di sebuah lokasi di Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini. 

Menerusi satu hantaran video di laman Instagram peribadi miliknya, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanafi Razak berkata, dia terharu melihat pasangan tersebut yang masih gigih mencari rezeki meskipun usia mereka sudah lanjut.

"Ada satu ketika saya nampak makcik dan pakcik ini berniaga, terdengar mereka saling memanggil dengan panggilan manja seperti 'Ayang' dan 'Manja'.

BACA LAGI: Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah

BACA LAGI: Ramai komplen nasi ayam gepuk mahal, rupanya gajus punca harga cecah belasan ringgit

"Rasa cemburu tengok mereka kaya dengan kasih sayang," katanya.

Menurut Ajak yang juga penyampai radio Suria FM itu lagi, tindakan tersebut turut mengingatkannya kepada pengalaman zaman kanak-kanaknya ketika membantu keluarganya berniaga di tepi jalan.

"Dulu saya pun pernah berniaga macam ni, rasa seronok bila jualan habis awal. Boleh tutup kedai dan balik main dengan kawan-kawan," ujarnya.

 

 

Ajak turut memaklumkan, hasil jualan ayam percik itu diborong menggunakan keuntungan daripada perniagaannya, Bumbu Babah, sebagai salah satu cara berkongsi rezeki.

"Saya guna duit Bumbu Babah untuk belanja makcik dan pakcik ini. Saya berniaga bukan semata-mata nak untung besar. Asalkan tak rugi pun dah cukup baik. Yang penting dapat bantu orang,” katanya lagi.

Melalui video yang dikongsikan, kedua-dua warga emas itu kelihatan terkejut dan sebak dengan tindakan Ajak.

Lebih mengharukan lagi, kedua-duanya dilihat menadah tangan mengucapkan tanda syukur selepas pelawak tersebut memberikan sumbangan wang yang tidak didedahkan jumlahnya kepada pasangan terbabit.

Dalam pada itu, Ajak turut mengajak orang ramai untuk menyokong perniagaannya dengan mengunjungi cawangan terbaru Bumbu Babah di Central I-City dekat Shah Alam, Selangor.

Tindakan murni Ajak itu mendapat pujian ramai warga maya yang turut mendoakan agar beliau terus dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram