
AKSI berani seorang lelaki dari Amerika Syarikat melamar kekasihnya di hadapan sebuah puting beliung kini menjadi bualan hangat di media sosial selepas video momen itu tular baru-baru ini.
Matt Michell melamar pasangannya, Becky Patel, ketika fenomena ribut kuat sedang berlaku di Arnett, Oklahoma, dengan pusaran puting beliung besar jelas kelihatan di latar belakang.
Kedua-dua mereka berdiri bersebelahan kenderaan utiliti sukan (SUV) mereka sambil dikelilingi angin kencang ketika lamaran berlangsung.
Video detik bersejarah itu, yang dirakam oleh seorang rakan mereka dan telah dimuat naik oleh Becky ke laman Instagram miliknya sekali gus menerima perhatian meluas pengguna media sosial.
BACA LAGI: Terpalit kontroversi hantar mesej tak senonoh kepada budak bawah umur, CEO Batu ditahan polis Gombak
Dalam hantarannya, Becky yang berasal dari Kanada berkongsi detik bersejarah berkenaan:
"Pada 18 Mei di Arnett, Oklahoma, di hadapan puting beliung paling menakjubkan, Matt Michell berlutut dan meminta saya untuk menghabiskan baki hidup saya bersamanya.
"Saya rasa jeritan dan lompatan saya sudah memberitahu apa jawapan saya!"katanya.
Menerusi video itu, Michell turut dilihat berkata, "Saya cintakan kamu, sayang," sebelum dipeluk oleh Patel yang melompat kegembiraan.
Becky kemudiannya berkongsi gambar cincin pertunangan berlian potongan oval miliknya dan menggelarkan lamaran itu sebagai "epik".
"Matt, kamu membuat saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia, dan saya cintakan kamu sepenuh hati," tulisnya lagi di Instagram.
Bercakap kepada stesen penyiaran tempatan, KLAW, Becky memaklumkan Michell berasal dari Illinois dan bekerja sebagai pemandu ribut atau 'tornado guide' bersama syarikat Tempest Tours.
Michell juga dikatakan telah mengejar ribut selama enam tahun.
Kisah cinta pasangan itu bermula tahun lalu apabila mereka bertemu dalam salah satu sesi jelajah ribut anjuran syarikat tersebut.
"Saya sepatutnya hanya mengejar selama dua minggu, tetapi Matt meminta saya tinggal satu minggu lagi dan mengejar bersama dia, jadi saya ikut," katanya.
Sejak itu, mereka telah mengejar beberapa fenomena ribut bersama termasuk sebuah puting beliung besar di Wyoming.
Namun, lamaran baru-baru ini dianggap sebagai paling istimewa, bukan sahaja kerana keberaniannya, tetapi juga simbolik terhadap perjalanan cinta mereka.
Ahli meteorologi, Damon Lane menyifatkan detik tersebut sebagai “lamaran yang tepat pada waktunya”.
Bagi Patel dan Michell, lamaran yang bermula dalam kocakan ribut kini menjadi titik permulaan kepada ikatan yang kukuh dan penuh makna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram