
KETIADAAN kemudahan penting seperti hospital, balai polis dan balai bomba bukanlah isu baharu yang dibangkitkan oleh penduduk sekitar kawasan Puncak Alam, Selangor.
Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai aduan dan gesaan disuarakan bagi mendesak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas demi keselamatan dan kebajikan penduduk.
Namun, sehingga kini, kebanyakan keperluan itu masih belum direalisasikan, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang semakin bertambah setiap tahun.
BACA LAGI : Syukur dalam rindu, pensyarah cabar diri keluar zon selesa ketika imbau kenangan di awan biru
BACA LAGI : Terpalit kontroversi hantar mesej tak senonoh kepada budak bawah umur, CEO Batu ditahan polis Gombak
Situasi itu bukan sahaja menjejaskan kecekapan perkhidmatan kecemasan, malah mengancam nyawa apabila bantuan gagal tiba dalam masa yang sepatutnya.
Terbaharu, seorang penunggang motosikal lelaki yang terlibat dalam kemalangan di simpang Suria Square, Puncak Alam terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum ambulans tiba sehingga memaksa penduduk bertindak nekad menghantarnya sendiri ke hospital berdekatan pada Sabtu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.40 malam di simpang Suria Square itu menjadi tular selepas seorang penduduk, Azrin Adnan, meluahkan rasa kecewa di laman Facebook Puncak Alam Community apabila melihat mangsa kemalangan dalam keadaan kesakitan tanpa sebarang bantuan kecemasan tiba.
"Kemalangan 7.40 malam, ambulans sampai 10.27 malam.
"Ya ALLAH, sedih tengok budak tu dalam kesakitan tunggu ambulans,” tulis Azrin dalam hantaran yang disertakan dengan gambar lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa yang tidak didedahkan namanya itu terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan, saksi dan orang awam di tempat kejadian tidak berani memberikan bantuan awal kerana takut memberikan risiko kepada mangsa.
Namun selepas dua jam menunggu bantuan, waris dengan bantuan oran awam terpaksa menghantar mangsa sendiri ke hospital.
Menjengah ke ruagan komen, ada dalam kalangan penduduk meluahkan menyifatkan kelewatan tersebut sebagai bukti kegagalan pihak berwajib menyediakan keperluan asas di kawasan yang kini mempunyai puluhan ribu penduduk.
Seorang penduduk, Yaacob Rahim, berkata jumlah penduduk di Puncak Alam semakin bertambah saban tahun, namun kemudahan asas masih di tahap minimum.
"Sudah tiba masanya ambulans disediakan secara tetap di Puncak Alam.
"Kita bukan duduk di kawasan pedalaman. Lagipun Ahli Parlimen kita sekarang adalah Menteri Kesihatan, sepatutnya perkara ini diberi perhatian serius," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Riz Wan, turut meluahkan rasa kecewa dan mendakwa satu-satunya hospital di kawasan tersebut, Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (Hospital UiTM) tidak tidak memberi manfaat kepada orang awam seperti yang dijangkakan.
"Dulu masa mula-mula Hospital UiTM nak buka, bukan main seronok lagi. Tapi bila dah siap, macam takde function je untuk rakyat biasa," tulisnya.
UNtuk rekod, Puncak Alam yang merupakan kawasan tumpuan perumahan dan institusi pengajian tinggi sering kali berdepan isu respons kecemasan yang perlahan ekoran jarak hospital dan balai bomba yang terletak di daerah lain seperti Klang dan Sungai Buloh, Selangor.
Penduduk berharap insiden terbaru ini membuka mata semua pihak bahawa keperluan asas bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan mendesak yang perlu dipenuhi segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram