Keluarga pertikai layanan SPRM terhadap Pamela Ling seolah-olah suspek


  • Kes
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Pamela dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan pada 9 April lalu namun diculik ketika dalam perjalanan.

KELUARGA kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melayan dia seolah-olah seorang suspek, walaupun agensi itu mendakwa dia hanyalah seorang saksi dalam satu siasatan.

Peguamnya, Sangeet Kaur Deo, mempertikaikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menurutnya tidak berasas dan mengelirukan.

"SPRM bukan sekadar 'memanggil' Pamela Ling, tetapi memburunya. Beliau berada di Malaysia atas arahan SPRM. 

BACA LAGI : Polis siasat portal berita dakwa penemuan mayat Pamela Ling di Petaling Jaya

BACA LAGI : Misteri 3 kereta culik isteri taikun bisnes Sarawak sebelum sempat beri keterangan SPRM undang tanda tanya

"Jadi, apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Azam Baki?" soal Sangeet.

Menurut Sangeet, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada pihak pembelaan untuk mencabar waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Pamela, yang dikatakan bertentangan dengan status Pamela sebagai seorang saksi yang memberi kerjasama.

Sangeet mempertikaikan kenyataan Azam Baki terhadap Pamela tidak berasas dan mengelirukan.

"Jika Pamela hanyalah seorang saksi dan turut memberikan kerjasama seperti yang didakwa oleh Azam, maka tindakan SPRM menahan, menggari, menempatkannya dalam lokap, membebaskan dengan jaminan RM35,000, mengenakan syarat melapor diri setiap bulan serta larangan perjalanan sepenuhnya, adalah satu bentuk intimidasi, gangguan dan penyalahgunaan proses yang nyata," katanya lagi.

Sangeet turut mendesak Azam agar memberikan penjelasan sebenar kepada umum mengenai pihak yang mengarahkan penahanan serta layanan tidak wajar terhadap anak guamnya.

"Mengapa Azam mengelirukan orang awam? Beliau (Azam) seharusnya berterus terang mengenai siapa yang mengarahkan penahanan dan layanan yang tidak sepatutnya itu, daripada membuat kenyataan yang sangat tidak benar," tegas beliau.

Terdahulu, dalam satu sidang media pada Khamis, Azam menjelaskan bahawa Pamela ditahan bukan kerana terlibat dalam siasatan kes, sebaliknya kerana gagal hadir ke SPRM apabila dipanggil.

“Untuk menjelaskan isu, Pamela ditangkap kerana kegagalan menghadirkan diri ke SPRM, bukan kerana siasatan kes. Kegagalan untuk hadir merupakan satu kesalahan. Itu sahaja, dan ia berasingan daripada siasatan kami,” katanya.

Namun, kenyataan itu disifatkan oleh pihak keluarga sebagai cubaan menutup tindakan keras SPRM terhadap Pamela, yang menurut mereka hanya menjalankan tanggungjawab sebagai saksi. — The Star/JUSTIN ZACK 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel danTelegram