Misteri 3 kereta culik isteri taikun bisnes Sarawak sebelum sempat beri keterangan SPRM undang tanda tanya


  • Massa
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Pamela (gambar kecil) didakwa diculik di Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM. — Gambar Hiasan

KES penculikan isteri seorang ahli perniagaan terkenal dari Sarawak, Datin Seri Pamela Ling Yueh, mencetuskan kebimbangan dan menjadi perbualan hangat masyarakat.

Pamela merupakan isteri kepada Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, pengasas Kumpulan JoinLand, syarikat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor perniagaan di dalam dan luar negara. 

Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak.

BACA LAGI : Polis siasat misteri wanita hilang sebelum sempat bagi keterangan di SPRM

BACA LAGI : Sistem pemilihan tidak adil dikata punca Rafizi pernah luah mahu letak jawatan

Menurut laporan media tempatan, Kumpulan JoinLand terlibat dalam pelbagai bidang termasuk pengedaran makanan sejuk beku, pelaburan modal teroka, pembangunan hartanah, gudang ikatan awam, serta pengurusan hutan dan pertanian.

Syarikat itu juga dilaporkan mempunyai kepentingan di Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China dan New Zealand.

Selain itu, syarikat berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan urus niaga tanah di sebuah pulau di daerah Kudat, Sabah, namun dilaporkan menarik diri daripada projek pembangunan agro yang kontroversi di Pulau Balambangan baru-baru ini.

Pada Jumaat, abang kepada Pamela, Simon Ling Wan Siong, mendakwa adiknya diculik di Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan untuk bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Simon mendakwa, pada 9 April lalu, Pamela, 42, berada dalam sebuah kereta e-hailing untuk ke pertemuan tersebut bagi memberi keterangan berhubung satu siasatan. 

Namun, kenderaan dinaikinya dipintas oleh tiga buah kenderaan lain, dan dia diarahkan masuk ke salah satu daripadanya.

"Pamela tidak pernah dilihat atau dihubungi sejak petang itu. Kini sudah lebih 20 hari sejak kehilangannya," katanya.

Tambahnya lagi, panggilan telefon dan mesej daripada keluarga serta peguam Pamela selepas pukul 2 petang hari kejadian juga tidak dijawab.

"Kami bimbang akan keselamatannya. Keadaan kehilangan Pamela sangat luar biasa dan perlu disiasat dengan segera," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, peguam kepada Pamela memaklumkan kepada sebuah portal bahawa pasangan itu sedang melalui proses perceraian.

Polis mengesahkan bahawa kes kehilangan Pamela disiasat sebagai kes penculikan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan bahawa wanita tersebut diculik pada 9 April.

"Dia sepatutnya hadir memberi keterangan berhubung satu siasatan oleh SPRM. Pihak SPRM turut mengesahkan ketidakhadiran beliau,” katanya.

Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan, Selangor.

"Keterangan daripada beberapa saksi, termasuk pegawai SPRM dan peguam, telah diambil.

"Siasatan masih diteruskan," ujar Rusdi. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram