
SEORANG wanita cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali di sebuah premis kecantikan di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, Kelantan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuka pintu premis miliknya untuk memberikan perkhidmatan urutan mengikut satu temu janji.
Beliau berkata, suspek secara tiba-tiba menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
BACA LAGI: Polis rakam keterangan anak Pamela Ling di Singapura, dedah masih berhubung pada hari kejadian
"Pemeriksaan forensik di lokasi kejadian menemui empat kesan cap jari serta bekas yang dipercayai digunakan oleh suspek.
"Mangsa kini menerima rawatan susulan kecederaan yang dialami," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Balai Polis Tawang atau Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram