Sambutan WTISD tingkat kesedaran masyarakat peranan ICT, demi bina masa depan lebih inklusif


  • Primer
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Ia juga menghimpunkan pelbagai pihak termasuk golongan belia sebagai platform untuk meneroka peranan transformasi digital dalam memacu keterangkuman dan pembangunan lestari.

KERAJAAN Madani komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang lebih adil, inklusif dan saling terhubung di samping menerajui kemajuan komuniti digital di peringkat global.

Kementerian Komunikasi juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Girls in ICT (GICT) serta Ulang tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Sabtu.

Dianjurkan pada 17 Mei setiap tahun, WTISD meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pembangunan global serta pembentukan suasana masyarakat lebih inklusif dan saksama, manakala GICT memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dalam bidang teknologi.

BACA LAGI: Nahas FRU: Enam anggota dirawat termasuk 4 di ICU makin pulih, seorang dibenar discaj

BACA LAGI: Kalahkan Musang King, Black Thorn, kini Tupai King tuntut mahkota 'Raja Buah'

Sambutan itu dilaksanakan dengan kerjasama MCMC.

Majlis itu juga menghimpunkan pelbagai pihak termasuk golongan belia sebagai platform untuk meneroka peranan transformasi digital dalam memacu keterangkuman, kesaksamaan jantina dan pembangunan lestari selaras dengan tema WTISD 2025, 'Kesaksamaan Gender dalam Transformasi Digital'.

Antara pengisian majlis termasuklah sesi diskusi bertajuk 'The Future of Connectivity: Advancing Digital Inclusion Through Transformative Technologies' dan 'Borderless Connectivity: How ICT Can Drive Sustainability, Equality & Safety'.

Sesi pocket talk dengan tema 'Wanita dalam ICT untuk Transformasi Digital Inklusif' turut diadakan bagi mengetengahkan kemajuan Malaysia memperkasa wanita dalam sektor ICT, selain menekankan komitmen kerajaan terhadap pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa sama mengetengahkan komitmennya terhadap pendidikan STEM dan mengumumkan bahawa 70 peratu pelajar sekolah dikehendaki mengikuti aliran tersebut mulai 2026.

Setem kenangan khas juga dilancarkan bersempena dengan ulang tahun ke-160 ITU. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Pengerusi Eksekutif MCMC, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan wakil ITU, Kishore Babu Yerraballa.

Fahmi berkata, sambutan itu merupakan peringatan yang kuat tentang peranan pihaknya dalam membentuk komunikasi yang lebih adil, inklusif selaras dengan komitmen kukuh Malaysia.

"Setem ini bukan sahaja sebagai koleksi tetapi menjadi simbol bermakna yang berkekalan bagi ITU dan Malaysia dalam telekomunikasi global.

"Ia mencerminkan evolusi teknologi komunikasi antarabangsa serta kerjasama penting dalam merapatkan jurang digital merentasi

dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, Antara inisiatif yang menjadi contoh pengiktirafan global adalah melalui Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan (NADI) yang memperkasakan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan latar belakang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram