Mahkamah Tinggi benar Pamela Ling cabar penahanan, larangan perjalanan dikenakan SPRM-Imigresen


  • Kes
  • Isnin, 19 Mei 2025

Pamela Ling dilaporkan diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM pada 9 April lepas.

MAHKAMAH Tinggi memberikan kebenaran kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk mencabar penahanannya sebelum ini dan larangan perjalanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen.

Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan Pamela Ling untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak di kamarnya di sini pada Isnin (19 Mei).

Hakim mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam permohonan itu. 

BACA LAGI: Permohonan reman ditolak, suami Pamela Ling ditahan bantu siasatan

BACA LAGI: Lapan suspek, 5 kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela Ling — Polis KL

Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Faisal Md Noor tidak membantah permohonan terbabit.

Sementara itu, peguam Pamela Ling, Surendra Ananth memberitahu The Star bahawa pengurusan kes telah ditetapkan pada 3 Jun.

Pamela Ling memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 7 April, hanya dua hari sebelum kehilangannya diwar-warkan.

Pada 9 April lalu, wanita yang juga anak kelahiran Sarawak itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas menaiki kenderaan e-hailing.

Laporan polis mengenai kehilangannya telah dibuat pada pukul 3.02 petang hari yang sama.

SPRM sebelum ini memperoleh waran tangkap terhadap Pamela Ling pada 2 Disember tahun lalu daripada Mahkamah Majistret Putrajaya selepas dia gagal mematuhi arahan menghadiri sesi keterangan bagi tujuan melengkapkan siasatan pengubahan wang haram.

Pada 8 Januari lalu, Pamela Ling telah ditangkap secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia melalui operasi bersama dengan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura.

Susulan penahanannya, dia kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di mana dia direman dari 9 hingga 11 Januari 2025 sebelum dibenarkan ikat jamin.

Dia dijadualkan berada di ibu pejabat SPRM pada 9 April. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram