
SEORANG wanita mengaku bersalah selepas tergamak menjual anak perempuannya berusia enam tahun yang dilaporkan hilang selama lebih setahun di Afrika Selatan.
Dalam perbicaraan kes itu, Racquel atau Kelly Smith mendedahkan kepada Mahkamah Afrika Selatan bahawa dia menjual anaknya, Joshlin pada Februari 2024.
Tertuduh juga mendakwa dibayar sebanyak RM4,620 ($1,085).
BACA LAGI: 'Baby blues', kewarganegaraan antara faktor pemerdagangan anak angkat berleluasa — Aktivis
Kelly Smith (kanan) yang didakwa atas kesalahan memperdagangkan manusia dan menculik. — Agensi
Hakim Nathan Erasmus berkata, keterangan seramai 35 saksi mendapati Smith, 35, dan dua tertuduh yang merupakan teman lelaki dan rakan bersama bersalah atas tuduhan pemerdagangan manusia dan penculikan.
"Saya mendapati berdasarkan keterangan di hadapan saya, Joshlin telah ditukar.
"Buktinya adalah daripada semua skor terdapat pembayaran atau sekurang-kurangnya jaminan pembayaran," katanya.
Kes tersebut secara tidak langsung mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga berlakunya protes di luar perkarangan mahkamah.
"Kami mahu Joshlin kembali," laung mereka sambil disambut tepukan gemuruh selepas mendengar keputusan pada Jumaat.
Difahamkan, rata-rata penduduk berusaha bersama pihak polis untuk menjejaki kanak-kanak tersebut beberapa hari lalu.
Dalam perbicaraan sama, ketiga-tiga tertuduh disabitkan kesalahan kerana memperdagangkan manusia.
Erasmus bagaimanapun menangguhkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang mungkin membawa kepada hukuman penjara seumur hidup.
Smith sebelum ini dikatakan menarik simpati orang ramai dengan melaporkan kehilangan anaknya.
Lebih menarik perhatian apabila beberapa gambar memaparkan wajah Joshlin dengan matanya yang hijau itu tersebar di seluruh media sosial.
Kes tersebut turut menarik perhatian Menteri Sukan, Gayton McKenzie yang menawarkan ganjaran RM229,972 ($54,000) sebagai bayaran Joshlin dapat dipulangkan dengan selamat.
Namun, Pendakwa Raya mendakwa bahawa Smith menjual anaknya kepada seorang pengamal perubatan tradisional yang berminat dengan mata hijau dan kulit cerah Joshlin.
Sementara itu, dua lagi anak Smith dikatakan kelihatan tenang dan terlibat dalam pencarian Joshlin.
Guru Joshlin yang juga merupakan paderi memberitahu bahawa rancangan Smith untuk menjual anaknya adalah sejak 2023. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram