[VIDEO] Nahas latihan LIMA 2025, aset TLDM hilang kawalan sebelum langgar bot pelancong di Langkawi


  • 112
  • Khamis, 15 Mei 2025

Tangkap layar video tular memaparkan detik-detik pelanggaran antara bot milik TLDM dan pelancong di Langkawi pada Khamis.

SEBUAH bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang kawalan sebelum melanggar sebuah bot pelancongan awam berhampiran pantai di Langkawi, Kedah pada Khamis.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku ketika raptai demonstrasi keupayaan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).

Dalam kejadian yang turut tular di media sosial itu, dua anggota pasukan keselamatan dipercayai cedera ringan, manakala orang awam tidak cedera.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 4.34 petang.

“Insiden melibatkan sebuah bot pasukan keselamatan yang sedang membuat latihan dinaiki lima pegawai dan anggota melanggar sebuah bot pelancongan awam yang berikat berhampiran pantai.

"Dua anggota pasukan keselamatan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Tiada sebarang kecederaan membabitkan orang awam. Pihak polis masih belum menerima sebarang laporan polis setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, TLDM turut mengeluarkan satu satu kenyataan mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, insiden berkenaan terjadi ketika raptai demonstrasi keupayaan sempena perasmian Segmen Maritim Lima 2025, sebuah bot milik TLDM telah hilang kawalan.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan parah yang dialami oleh kru bot tersebut akibat insiden ini. Namun, kru dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

TLDM juga memaklumkan akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram