
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan sokongan padu terhadap misi pendakian amal
Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dalam Projek Pendakian Amal Bomba de Everest: Mencari Hati Emas 2025 yang kini berada di Everest Base Camp, Nepal.
Sanusi melalui perkongsian di halaman Facebook miliknya turut menyeru orang ramai untuk turut memberikan sokongan dan sama menyumbang bagi menjayakan misi amal individu tersebut.
Beliau turut mendoakan kejayaan Mohd Fakhrul Munir dalam misi tersebut, selain berharap dana kebajikan yang disasarkan dapat dikumpulkan sebanyak mungkin.
BACA LAGI : Mengaku dapat 'back up' polis, mamat Rohingya cabar kesabaran penduduk Kemaman
BACA LAGI : 'Terima kasih sebab datang', guru coret kisah murid berkasut koyak semangat hadir sekolah
"Saya siapkan RM30,000 sebagai sokongan kepada tabung-tabung yang dimaksudkan oleh beliau. Jom pakat menyumbang untuk menjayakan misi anak Sik, Kedah, menawan puncak Everest.
"Kita doakan saudara Munir berjaya dalam misi beliau. Terima kasih abam bomba, doa kami mengiringi setiap langkah di Everest
"Segala penat lelah diberi ganjaran pahala melimpah ruah oleh ALLAH SWT. Saudara Munir membangkitkan semangat dan rasa bangga di hati kami semua," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Beliau turut berkongsi satu video memaparkan Munir yang kini berada di Everest Base Camp, Nepal.
Dalam video tersebut, Mohd Fakhrul Munir merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Besar Kedah atas sokongan yang diberikan, sambil memaklumkan beliau akan memulakan fasa akhir pendakian ke puncak dalam masa terdekat.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama saya Muhammad Fakhrul Munir bin Muhammad Isa. Sekarang berada di Everest Base Camp, Nepal.
"Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk Seri Sanusi Muhammad Nor, Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman, atas sokongan yang tidak berbelah bagi kepada saya.
"Insya-ALLAH, dalam beberapa hari sahaja lagi, saya akan mulakan pendakian terakhir untuk ke puncak Gunung Everest. Perjalanan mungkin akan kurang dalam enam hari lagi.
"Pendakian amal ini tidak lain dan tidak bukan adalah bagi mendokong dan juga menyokong tiga tabung utama iaitu Tabung Kebajikan Anggota Bomba, Tabung Transplantasi Buah Pinggang bagi mereka yang kurang berkemampuan seperti B40 dan asnaf, serta Tabung Pendidikan Al-Quran untuk membantu golongan yang ingin mempelajari dan mendalami ilmu Al-Quran," ujarnya.
Munir turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan kelancaran dan keselamatan dia dalam misi ke puncak tertinggi dunia itu.
"Doakan saya berjaya ke puncak 8,848 meter di puncak Everest dan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat di bumi Malaysia yang tercinta,” katanya lagi.
Untuk rekod, Munir berlepas ke Nepal pada 8 April lalu bagi melaksanakan misi pendakian Gunung Everest menerusi projek amal berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram