Minta berjumpa lepas mengaku salah khianat MPV MP Sri Gading, bekas guru taska didenda RM6,000


Tertuduh memohon kebenaran bersua muka dengan Aminolhuda (gambar kanan) untuk memohon maaf atas perbuatan dilakukan sejurus selepas prosiding pada Khamis. 

MAHKAMAH Majistret di Batu Pahat, Johor menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap bekas guru taska yang merosakkan kenderaan utiliti sukan (SUV) milik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading, pada Sabtu lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Muhammad Azrie Abul Hassan Ashari, 37, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Tertuduh bakal berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading atau berdepan penjara empat bulan.

Muhammad dituduh sengaja melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan sehingga kerugian RM7,530 di Dewan Haji Aminolhuda, Parit Yaani, di sini pada 11 pagi, 10 Mei lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharif manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan turut hadir bagi mendengar prosiding itu.

Tertuduh memohon kebenaran bersua muka dengan Aminolhuda untuk memohon maaf atas perbuatan dilakukan sejurus selepas prosiding pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram