Tular rakaman HR tengking staf minta berhenti, ramai tak tahu pentingnya PIP


  • Massa
  • Jumaat, 02 Mei 2025

PIP adalah salah satu mekanisme paling asas dalam pengurusan sumber manusia apabila prestasi pekerja menjadi isu. — Gambar Hiasan/Freepik

TULAR di media sosial baru-baru ini sebuah rakaman suara yang didakwa melibatkan seorang staf sumber manusia (HR) menengking seorang pekerja bawahan dalam satu sesi perbualan dalaman. 

Dalam rakaman tersebut, pegawai berkenaan dilaporkan memarahi pekerja itu dengan nada tinggi dan didakwa tidak mencerminkan etika pengurusan moden.

Malah, rakaman yang tular menerusi aplikasi TikTok sejak Khamis itu juga mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar. 

BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah

BACA LAGI : Budak 5 tahun maut tertinggal lima jam dalam van sekolah, pemandu ditahan di Iskandar Puteri

Ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap budaya kerja toksik yang semakin berleluasa dan kurangnya pematuhan kepada prosedur pengurusan prestasi yang betul.

Namun ada juga yang berpendapat reaksi pekerja lelaki berkenaan juga tidak profesional dan hanya mengeruhkan lagi keadaan. 

Perbualan hangat yang tercetus di platform digital itu turut mendedahkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya proses Performance Improvement Plan (PIP) dalam menangani isu prestasi kerja dalam sesebuah syarikat.

[KLIK GAMBAR UNTUK VIDEO]

Tular di laman media sosial baru-baru ini melibatkan seorang pegawai sumber manusia (HR) didakwa menengking seorang pekerja bawahan dalam satu sesi perbualan dalaman. — Gambar Hiasan/Agensi

Menjengah ke ruangan media sosial, tidak dinafikan masih ramai lagi pekerja yang kurang arif dan tidak ambil tahu tentang proses PIP dalam sesebuah organisasi. 

Malah ada yang mendakwa dan takut sekiranya mereka menjalani kursus PIP, Kerana ia adalah satu cara 'halus' majikan memberhentikan pekerja tanpa tindakan yang sewajarnya. 

Seorang pengguna media sosial, Pat Patricia, tampil memberi pandangan bahawa pelaksanaan PIP sepatutnya menjadi langkah utama sebelum mana-mana pekerja dipaksa untuk meninggalkan jawatan mereka. 

Menurut Pat,  PIP bukan sesuatu yang negatif, sebaliknya merupakan peluang untuk pekerja membuktikan kemampuan diri secara objektif.

"PIP adalah sesuatu yang positif. Kenapa nak tolak? Melalui PIP kamu boleh buktikan kepada HR bahawa kamu memang berkemampuan," katanya menerusi satu komen menjawab soalan pengguna media maya yang risau menjalani PIP.

Sementara itu,seorang lagi pengguna Facebook, Alif Haiqal, yang menjelaskan bahawa PIP adalah salah satu mekanisme paling asas dalam pengurusan sumber manusia apabila prestasi pekerja menjadi isu. 

Menurut Alif, sebelum keputusan drastik seperti pemecatan dibuat, majikan perlu menyediakan ruang kepada pekerja untuk memperbaiki prestasi mereka dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dalam tempoh masa tertentu, biasanya antara 30 hingga 90 hari. 

Dalam tempoh itu, majikan wajib memantau kemajuan prestasi secara berkala dan memberi maklum balas yang konsisten.

Jelas Alif lagi, sekiranya tiada sebarang peningkatan selepas tempoh PIP, barulah tindakan sewajarnya boleh diambil. 

"Pelaksanaan PIP bukan sahaja memberi peluang kepada pekerja untuk berubah, malah turut melindungi majikan daripada risiko tindakan undang-undang sekiranya berlaku pemecatan yang dianggap tidak adil," tulisnya.

Proses PIP melibatkan perbincangan dua hala antara individu yang mengawasi prestasi dan pekerja itu sendiri. — Gambar Hiasan/Freepik

Kejadian rakaman tular HR menengking pekerja itu menjadi peringatan penting kepada semua organisasi agar tidak mengabaikan proses dan etika dalam pengurusan kakitangan. 

Pada masa sama, pekerja juga harus memahami dalam dunia pekerjaan moden yang semakin menuntut profesionalisme dan kebertanggungjawaban, pelaksanaan PIP adalah cerminan keadilan dan integriti sesebuah organisasi.

Untuk makluman, PIP biasanya dibangunkan secara bersama antara pegawai HR atau penyelia untuk membantu pekerja yang bermasalah. 

Proses tersebut melibatkan perbincangan dua hala antara individu yang mengawasi prestasi dan pekerja itu sendiri. Pekerja diberi ruang untuk menyuarakan pandangan terhadap objektif dan matlamat pelan yang ditetapkan, termasuk jenis sokongan yang diperlukan. 

Pendekatan itu juga bertujuan memastikan pelan itu bersesuaian dengan keperluan dan keadaan pekerja terbabit.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram