[VIDEO] ‘Nini baliklah, mummy, daddy dan kakak rindu sangat,’ misteri gadis Johor keluar rumah seorang diri tanpa IC sebelum menghilang


  • Massa
  • Khamis, 08 Mei 2025

Nisha Elni keluar rumah dengan memakai baju kurung merah jambu, berselipar dan membawa sebuah beg galas serta telefon pintar.

SEORANG remaja perempuan dilaporkan hilang secara misteri selepas keluar dari rumahnya di Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, Johor sejak Selasa lalu. 

Menurut Nasha Elni Abdullah, adiknya, Nisha Elni Senin kali terakhir dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran sedang berjalan seorang diri di hadapan rumah pada pukul 7.13 pagi, sebelum gagal dikesan sehingga kini.

Katanya, sebelum kejadian, adiknya yang berusia 15 tahun dan lebih mesra dipanggil Nini itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, kemurungan atau masalah peribadi. 

BACA LAGI : Misteri 3 kereta culik isteri taikun bisnes Sarawak sebelum sempat beri keterangan SPRM undang tanda tanya

BACA LAGI : Mayat wanita dicampak dari van di Lebuh Raya Kesas bukan Pamela Ling — Polis

"Malah dia dikenali sebagai seorang yang ceria, aktif dan rapat dengan keluarga.

"Dia anak kedua daripada dua beradik, sangat rapat dengan kami. Tak ada pun tanda-tanda dia murung, pendiam atau bermasalah. 

"Di sekolah pun kawan dia ramai, cikgu kenal baik," katanya kepada Majoriti

Nisha Elni dilaporkan hilang secara misteri selepas keluar dari rumahnya di Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, Johor sejak Selasa lalu.

Jelas Nasha, mereka hanya menyedari kehilangan Nini selepas dia tidak berada di dalam biliknya. 

"Pagi itu, saya sedar dia bangun kerana ada bunyi orang di dalam tandas. 

"Saya fikir dia ke tandas sebab itu perkara biasa tetapi bila tersedar semula lebih beberapa jam selepas itu, dia sudah tiada. 

"Saya cari seluruh rumah termasuk bilik ibu bapa dan tiada kelibat Nini. 

"Saya terus hubungi ibu yang ketika itu sudah ke tempat kerja dan meminta pertolongan jiran,” kata Nasha dalam nada sebak.

Menurut Nasha lagi, Nini keluar rumah dengan memakai baju kurung merah jambu, berselipar dan membawa sebuah beg galas serta telefon pintar, namun tidak membawa kad pengenalan kerana dokumen itu disimpan oleh ibunya.

"Kami turut ke sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang Nini.

"Guru kelas dan guru disiplin memanggil dan menyoal siasat semua rakan sekelas tetapi tiada seorang pun mengetahui ke mana dia pergi, malah mereka turut terkejut,” katanya.

Nasha turut merayu meminta bantuan orang ramai mencari adik kesayangannya itu. 

"Laporan polis dibuat di balai polis berdekatan, dan siasatan kini dijalankan oleh pihak berkuasa untuk mengesan keberadaan adik saya.

"Saya rayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali mangsa agar tampil membantu siasatan.

"Nini baliklah, mummy, daddy dan kakak rindu sangat dekat Nini. Kami semua tunggu Nini balik dengan selamat," ujarnya sayu. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi pihak keluarga bagi membantu usaha pencarian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram