
SEORANG pemandu e-hailing mendakwa dipaksa menekan butang 'complete job' dalam aplikasi Grab sebelum penumpangnya, Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42, diheret keluar dari kenderaan.
Pada waktu kejadian mereka dalam perjalanan dari Velocity Tower, Cheras ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pada 9 April lalu.
Lelaki berusia 50-an yang hanya dikenali sebagai Kok berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang apabila Pamela kemudiannya dibawa masuk ke dalam sebuah lagi kenderaan oleh beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
BACA LAGI : Misteri 3 kereta culik isteri taikun bisnes Sarawak sebelum sempat beri keterangan SPRM undang tanda tanya
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
"Sepanjang perjalanan, dia (Pamela) tidak banyak bercakap, hanya sempat membuat satu panggilan telefon. Saya tidak dengar dengan jelas perbualannya kerana dia bercakap perlahan.
"Semuanya tenang sehinggalah kami menghampiri bangunan SPRM, apabila secara tiba-tiba tiga buah kenderaan muncul dan mengepung kereta saya dari arah depan, belakang dan sisi," katanya pada Selasa.
Menurut Kok, tiga individu keluar daripada dua kenderaan tersebut iaitu dua lelaki dan seorang wanita.
"Salah seorang lelaki dan wanita itu memakai pakaian seragam menyerupai polis, manakala seorang lagi lelaki memakai vest bertanda 'Polis'.
"Mereka memaklumkan bahawa penumpang saya akan ditahan untuk membantu siasatan berdasarkan satu laporan polis," ujarnya.
Kok berkata, Pamela pada awalnya enggan keluar dari kenderaan sebelum wanita berseragam itu cuba menariknya secara paksa.
"Kemudian dua lelaki itu menerangkan bahawa ia adalah satu penahanan, dan dia akan dibawa ke balai polis terdekat.
"Pamela akhirnya akur dan sebelum keluar, dia sempat memberikan saya wang tunai RM100 sebagai bayaran tambang," jelasnya.
Razarudin mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wanita terbabit dibawa oleh anggota polis sebenar atau individu yang menyamar.
Tambah Kok, dia diarahkan untuk menekan butang 'complete job' dalam aplikasi berkenaan sebelum kumpulan tersebut mengambil kad pengenalannya, lesen memandu serta nombor telefonnya.
"Mereka beredar sejurus selepas itu. Saya terus membuat laporan polis.
"Disebabkan kejadian itu, saya tidak dapat bekerja selama dua minggu sementara menunggu lesen baharu dikeluarkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wanita terbabit dibawa oleh anggota polis sebenar atau individu yang menyamar.
Razarudin memaklumkan, pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa turut memaklumkan siasatan masih diteruskan dengan seramai 12 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan setakat ini.
Tiada sebarang tuntutan wang tebusan diterima berkaitan kehilangan wanita berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita dipercayai hilang selepas gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram