Paksa warga emas bagi sedekah guna QR di hospital, penduduk Sibu desak polis segera bertindak


  • Tular
  • Isnin, 05 Mei 2025

Seorang lelaki dipercayai warganegara China didakwa memaksa warga emas membuat 'derma' menggunakan kod QR di kawasan hospital Sibu, Sarawak baru-baru ini. — Gambar/Orang Awam 

ORANG awam menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera terhadap seorang lelaki dipercayai warganegara China yang didakwa memaksa warga emas memberi 'derma' menggunakan kod QR di kawasan Hospital Sibu, Sarawak pada Isnin. 

Melalui perkongsian seorang pengguna Facebook, Arbee Hussein lelaki berkenaan dikesan menghampiri warga emas yang sedang menunggu rawatan atau berehat di lobi utama hospital berkenaan. 

Dia turut kelihatan berlegar-legar di premis berkenaan sebelum menunjukkan kod QR dan mendesak dua warga emas mengimbas untuk memberi sumbangan kononnya atas tujuan amal.

BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah

BACA LAGI : Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah

"Hati-hati orang Sibu, dia (suspek) sudah berada di Sibu. 

"Kejadian berlaku depan mata saya sendiri, dia minta derma depan warga emas sambil menunjukkan kod QR. 

"Nasib baik saya tegur dan dia terus lari," tulisnya. 

Perkongsian Arbee Hussein itu turut menjadi tular dan bualan dalam kalangan masyarakat Sarawak. 

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Berita Sibu, lelaki berkenaan pernah menjadi tular di Bintulu kerana turut menggunakan modus operansi yang sama. 

"Chinaman yang tular di Bintulu minta derma minimum RM20 siap kali menggunakan kod QR dah sampai Sibu. 

"Pandai-pandailah orang Sibu menilai duit derma yang digunakan," katanya . 

Tindakan lelaki tersebut bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warga maya, malah menimbulkan persoalan mengenai kesahihan tujuan sumbangan yang diminta.

"Ini bukan cara minta sedekah. Ia lebih kepada ugutan secara halus. Kalau benar mahu buat amal, kenapa sasar orang tua yang jelas dalam keadaan lemah?" kata Annie Jeluing

Sehubungan itu, orang ramai menggesa pihak polis dan penguat kuasa tempatan untuk menyiasat latar belakang lelaki berkenaan serta mengambil tindakan tegas bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang.

Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut. 

Namun, orang awam dinasihatkan untuk berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik yang semakin licik digunakan untuk mendapatkan wang secara tidak sah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram