
SEBUAH syarikat pembekal tudung menyaman pelakon Nur Fazura Sharifuddin dan abangnya, Ahmad Faiz, kerana didakwa gagal membuat pembayaran bernilai RM4.65 juta untuk penghantaran tudung.
Menurut laporan FMT yang memetik pernyataan tuntutan, plaintif, Obor Holding Sdn Bhd, mendakwa Pink Fate Sdn Bhd, syarikat milik Fazura dan Faiz, hanya membayar RM2,680,167.90 untuk 33 penghantaran tudung bernilai keseluruhan RM7,330,197.04.
Fazura, Faiz dan Pink Fate disenaraikan sebagai defendan, serta Fazfit Sdn Bhd, sebuah syarikat milik adik-beradik dan di mana Faiz menjadi pengarah.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Selain menjadi pemegang saham dalam Pink Fate, Fazura juga pernah menjadi pengarah dalam syarikat itu bersama abangnya sehingga peletakan jawatan pada 13 Januari tahun ini.
“Pemberhentian (Fazura) daripada (Pink Fate), menunjukkan kekurangan prihatin terhadap pengurusan (Pink Fate), mencadangkan (Pink Fate) mungkin menghadapi pembubaran untuk membolehkan defendan lain mengelak liabiliti,” ujar pernyataan tuntutan itu.
Obor Holding mendakwa wakilnya pertama kali bertemu Faiz pada awal 2022 di pejabat Fazfit di Kota Damansara, di mana Obor Holding menyatakan minat untuk melibatkan plaintif bagi memenuhi pesanan tudung dengan jumlah tinggi.
“Dalam pertemuan itu, Fazura memperkenalkan Faiz sebagai abangnya yang juga seorang selebriti terkemuka Malaysia, yang diiktiraf secara meluas atas usaha perniagaannya yang mapan dan berjaya di bawah jenama Fazura yang terkenal.
“Reputasi Fazura sebagai tokoh masyarakat dan usahawan ditekankan, menggambarkan beliau sebagai individu yang berpengaruh dan dipercayai dalam industri perniagaan.
"Mereka menyerlahkan status selebritinya sebagai asas kekuatan kewangan dan kejayaan mereka, seterusnya menegaskan bahawa usaha niaga mereka disokong oleh projek kerjasama dengan pihak berkuasa kerajaan dan rakan perniagaan terkemuka yang lain," ujar pernyataan tuntutan itu lagi.
Utusan Malaysia yang memetik pengarah Obor Holding Lim Boon Hai sebagai berkata, syarikatnya memfailkan saman mereka pada April selepas gagal mendapat maklum balas memuaskan daripada defendan.
“Kami mendapati sukar untuk menuntut wang daripada mereka sejak akhir 2023.
“Sejak saman itu difailkan, kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada syarikat mereka sehingga kini. Kali terakhir kami berkomunikasi dengan Fazura dan pengurusan syarikat ialah pada penghujung 2024.
"Nampaknya mereka tidak berhasrat untuk menyelesaikan isu ini," katanya.
Lim mendakwa Fazura memberi janji kosong, serta cek yang ditolak pada September tahun lalu.
"Syarikat kami berada dalam kesempitan kewangan akibat daripada ini, memaksa kami mengambil langkah-langkah ini untuk menyelesaikan perkara itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram