
BEKAS ahli kumpulan Dolla, Syasya Rizal baru-baru ini berkongsi mengenai perubahan suaranya yang berlaku selepas beliau melahirkan bayi sulungnya pada Disember tahun lalu.
Pendedahan itu dibuat menerusi satu temu bual melalui panggilan telefon bersama radio ERA FM yang ketika itu dikendalikan oleh Isha Norsham.
Dalam temu bual tersebut, Syasya atau nama sebenarnya ialah Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata, perubahan suara yang dialaminya merupakan salah satu perkara yang mencabar dalam membuat persiapan kemunculan semulanya selepas bergelar ibu.
BACA LAGI: Polis Bukit Aman panggil 6 petugas radio terkait kandungan persenda upacara agama
"Tidak tipu, selepas bersalin, suara memang dah berubah, sudah tidak sama dengan suara sebelum bersalin, jadi apa yang Syasya rasa susah tu nak get back on track untuk dapatkan balik suara Syasya yang dahululah," jelasnya.
Pun begitu, penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu menerima bimbingan daripada jurulatih vokal bagi membantunya mendapatkan kembali kemahiran vokalnya.
"Alhamdulillah, guru vocal banyak sangat membantu," ujarnya.
Syasya turut berkongsi reaksi suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie berhubung rancangannya untuk membuat kemunculan semula dalam industri muzik.
"Mula-mula dia macam betul ke? Macam tak cepat sangat ke nak buat comeback?" jelasnya.
Syasya membuat kejutan melalui kemunculannya dengan lagu raya baharu yang didendangkan bersama Fazura. - Instagram/@syasya.rzl
Namun, Syasya menegaskan bahawa beliau tidak merancang untuk membuat comeback secara rasmi. Sebaliknya, hanya ingin berkongsi nyanyiannya dengan para peminat secara santai.
Sebagai maklumat tambahan, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 20 April 2024 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Yassir Hayyan pada 23 Disember tahun sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram