
PENDUDUK di kawasan yang berhampiran sempadan India pada Jumaat diarahkan oleh kerajaan Pakistan agar menyimpan stok atau bekalan makanan di saat konflik antara dua negara itu yang kini semakin tegang.
Perdana Menteri Kashmir yang ditadbir Pakistan, Chaudhry Anwar ul Haq juga sudah mengeluarkan notis kepada penduduk untuk menyimpan bekalan selama dua bulan sepanjang kawalan ketat dilakukan.
Kerajaan wilayah juga dilaporkan menyalurkan dana kecemasan sebanyak RM14 juta ($3.5 juta) untuk memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan semua keperluan asas lain mencukupi.
BACA LAGI: Konflik Kashmir: India sekat akaun media sosial pelakon, selebriti terkenal Pakistan
Sekatan juga dilakukan di India susulan konflik dengan Pakistan. — Agensi
India pada masa sama mengumumkan bahawa pihaknya mengharamkan import barangan yang berasal dari atau transit melalui Pakistan ketika ini.
Direktorat Jenderal Perdagangan Luar India juga berkata, larangan itu akan berkuat kuasa serta-merta demi kepentingan keselamatan negara dan dasar awam.
Pakistan bagaimanapun akan terus membenarkan penggunaan lintasan sempadan Wagah untuk warganya yang terkandas di India berikutan keputusan New Delhi untuk membatalkan visa susulan insiden serangan pengganas di Pahalgam.
Sebanyak 70 warga Pakistan dilaporkan terkandas di sempadan pada Khamis kerana tarikh akhir untuk meninggalkan India tamat sehari lebih awal.
Pada 22 April lalu, serangan pengganas di Pahalgam, Kashmir mengorbankan seramai 26 orang termasuk pelancong.
Kejadian itu sekali gus mencetuskan ketegangan hebat antara India dan Pakistan sehingga kini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram