Rakyat Sabah, Sarawak nikmati cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti 7 hari dan waktu bekerja dikurangkan mulai 1 Mei


  • Primer
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Pekerja di Sabah dan Sarawak kini akan mendapat manfaat seperti pengurangan waktu kerja, kenaikan cuti bersalin, dan aturan kerja anjal. —Gambar Hiasan/Agensi

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan bahawa Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 mula berkuatkuasa pada 1 Mei, kecuali Bahagian IVA yang secara khusus berkaitan dengan piawaian minimum perumahan, penginapan dan kemudahan untuk pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Seksyen IVA yang berkaitan dengan piawaian minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja akan dikuatkuasakan pada tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Menurut beliau, pindaan itu juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila undang-undang buruh buat pertama kalinya berjaya diseragamkan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah

BACA LAGI : Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan

Jelasnya lagi, penyelarasan itu melibatkan tiga undang-undang utama yang menjadi tonggak perlindungan pekerja di Malaysia, iaitu Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, serta Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.

"Pindaan itu juga adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memastikan pematuhan terhadap standard buruh antarabangsa, khususnya selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Prinsip dan Hak Asas di Tempat Kerja 1998," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

YB Steven Sim, Menteri Sumber Manusia attending MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA MEDIA in Sofitel Kuala Lumpur Damansara. (MAC 24 2025) — ART CHEN/The StarReporter: ALLISON LAI

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

Tambah beliau lagi, antara intipati penting pindaan tersebut ialah peluasan skop perlindungan kepada semua pekerja tanpa mengambil kira tahap pendapatan atau jenis pekerjaan, sekali gus menghapuskan had gaji RM2,500 yang sebelum ini menjadi penanda aras. 

"Selain itu, pindaan ini turut membawa perubahan yang signifikan kepada kebajikan pekerja dengan peningkatan tempoh cuti bersalin kepada 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini, serta pengenalan cuti paterniti selama tujuh hari untuk golongan bapa. 

"Waktu kerja mingguan juga dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam," katanya lagi. 

Beberapa peruntukan baharu turut diperkenalkan dalam pindaan tersebut, termasuk pengaturan kerja secara fleksibel, mekanisme aduan berhubung diskriminasi di tempat kerja, gangguan seksual, aduan buruh paksa serta penyediaan perumahan dan kemudahan yang sesuai untuk pekerja. 

Pindaan itu mengadaptasi sebahagian besar kandungan daripada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Pekerja wanita di Sabah dan Sarawak kini boleh menikmati tempoh cuti bersalin kepada 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini. —Gambar Hiasan/Agensi

Dalam masa yang sama, kementerian turut mewartakan dua perintah di bawah Akta Pindaan Ordinan Buruh Sabah 2025, iaitu Perintah Pekerjaan (Pengecualian) (Pemansuhan) 2025 dan Perintah Pekerjaan (Pindaan Jadual Pertama) 2025.

Bagi Sarawak pula, satu perintah iaitu Perintah Pekerjaan (Pengecualian) (Pemansuhan) 2025 turut berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Kementerian yakin bahawa pelaksanaan pindaan tersebut akan memberi kesan positif terhadap perlindungan hak dan kebajikan pekerja di Sabah dan Sarawak, selain membantu memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap keadilan sosial dan kesejahteraan pekerja di peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram