
SEORANG ibu tunggal tetap melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada Sabtu meskipun berdepan cabaran menjaga tiga anak autismenya.
Menurut Suzana Ilias, 53, ia merupakan kali kedua anak-anaknya, Muhammad Khir Khairul Nizam, 29; Nur Fatimah, 28, dan Nur Ashikin, 25, menggunakan hak mengundi mereka.
Katanya, kali pertama tiga anaknya mengundi adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada 2022.
BACA LAGI: Tak lari, sebaliknya 2 beradik perempuan selamatkan pelancong ketika serangan pengganas di Pahalgam
"Kali ini (pergi mengundi) lebih mencabar kerana saya terpaksa sendirian menguruskan mereka bertiga.
"Sebelum ini, arwah suami ada membantu, tetapi selepas dia meninggal dunia tahun lalu (2024), saya kini terpaksa menguruskan semuanya sendirian.
"Walaupun dua anak saya boleh jaga diri, seorang (Nur Fatimah) masih perlu dipantau rapi. Dia agak takut dengan tempat yang sesak, sebab itu saya selalu peluk dia," katanya.
Suzana berkata, walaupun anak-anaknya tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU), mereka masih mempunyai hak untuk memilih pemimpin mereka.
"Kalau orang bercakap dengan mereka, mereka boleh faham.
"Saya ajar mereka sedikit tentang proses pengundian, jadi selebihnya terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan sendiri," tambahnya,
Setakat ini, sebanyak lebih 30 peratus pengundi dilaporkan sudah menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu.
Proses pengundian juga melibatkan 19 pusat yang membolehkan 31,281 pengundi berdaftar mengundi.
PRK tersebut turut menyaksikan persaingan tiga penjuru iaitu melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram