
SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah atas pertuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan cara menikam gadis itu pada Isnin.
Tertuduh B Vashigharan, 19, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Memetik laporan Berita Harian, mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang pelajar unversiti didakwa cuba membunuh Kirtanah Poomaran, 19, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.
BACA LAGI : [VIDEO] Remaja parah diseret 4x4 akibat lawan arus elak sekatan jalan raya di LKSA
BACA LAGI : Dua wanita dikesan susulan mayat bayi ditemukan dalam tandas di stesen minyak Sungai Haji Dorani
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di hadapan tandas tingkat 1, Universiti AIMST di Semeling, Bedong, Kedah pada pukul 10 pagi, 17 Mac lalu.
Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam P Ashokumar.
Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa ialah Ranjit Singh Sandhu.
Muhammad Fitri kemudian meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh berikutan kes berkenaan adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Ashokumar dalam hujahan balasnya merayu mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dikenakan berikutan tertuduh masih muda dan belajar di peringkat universiti.
Hakim kemudian menolak permintaan peguam tertuduh dan menetapkan tiada jaminan dibenarkan membabitkan kes serius seperti cubaan membunuh berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan 14 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar universiti swasta cedera parah selepas ditikam berkali-kali dalam kejadian di kampus institusi pengajian tinggi berkenaan pada Isnin lalu.
Mangsa diserang remaja lelaki terbabit yang dikatakan merupakan bekas teman lelakinya semasa berjalan ke perpustakaan bersama beberapa rakannya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan kecederaan di tangannya di klinik kesihatan di kampus berkenaan sejurus kejadian.
Mangsa dikatakan bertindak demikian kerana berang selepas gadis itu bertindak memutuskan hubungan mereka.
Difahamkan, mangsa sudah dibenarkan keluar hospital dan berada dalam keadaan stabil ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram